Kit Siang persoal undang-undang lindungi data peribadi lambat dilaksanakan
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mempersoalkan mengapa perancangan untuk menggubal undang-undang Perlindungan Data Peribadi (PDP) mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan.
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mempersoalkan mengapa perancangan untuk menggubal undang-undang Perlindungan Data Peribadi (PDP) mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan.
Katanya, perkara tersebut telah lama dibincangkan di Dewan Rakyat tetapi masih tidak dilaksanakan sedangkan perundangan melindungi data peribadi seperti PDP adalah amat penting.
Menjawab perkara tersebut, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor menjelaskan proses penggubalan undang-undang itu bukan mudah kerana memerlukan pandangan semua pihak dan perbandingan dengan akta sama di negara lain supaya ianya berkesan kepada pengguna.
Pada masa ini, katanya, Jabatan Peguam Negara sedang memuktamadkan draf undang-undang Perlindungan Data Peribadi (PDP) dan dijadual dibentangkan di Parlimen tahun depan.
Sebelum itu, menurut laporan Bernama, ketika menjawab soalan Datuk Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) di persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, undang-undang itu akan melidnungi data peribadi pengguna di samping meningkatkan kepercayaan dan keyakinan mereka dalam transaksi elektronik.
"Perundangan ini akan mengawal pengutipan, penyimpanan, pemprosesan dan penggunaan data peribadi pengguna.
"Dengan adanya perundangan tersebut, syarikat teknologi maklumat (IT) tidak boleh menyebar atau menjual data peribadi individu kepada pihak ketiga tanpa kebenarannya," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya juga sedang memulakan pelaksanaan peraturan agar pengguna telefon talian prabayar mendaftar dengan syarikat komunikasi bagi mengelak penyebaran fitnah atau gambar lucah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Projek itu sudah dimulakan di Melaka dan Pulau Pinang dan hasilnya dijangka dianalisis bulan depan. Kita menjangka untuk melaksanakan peraturan tersebut ke seluruh negara pada tahun depan," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.