MP dakwa ada pegawai pertanian makan gaji buta
Ahli Parlimen Barisan Nasional dari Ketereh, Datuk Mohd Alwi Che Mat hari ini mendakwa ada pegawai Jabatan Pertanian yang "pemalas dan hanya mendapatkan gaji buta".
Ahli Parlimen Barisan Nasional dari Ketereh, Datuk Mohd Alwi Che Mat hari ini mendakwa ada pegawai Jabatan Pertanian yang "pemalas dan hanya mendapatkan gaji buta".
"Mereka hanya sibuk di dalam pejabat; masuk kerja jam 8 pagi dan balik jam 4 petang tetapi satu kerja pun tidak dibuat," dakwanya di di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau juga mendakwa bahawa ada pegawai Jabatan Pertanian yang tidak mahu turun padang kerana tidak dibayar tuntutan perbatuan.
Mohd Alwi berkata, perkara ini berlaku kepada pegawai-pegawai Lembaga Kemajuan Pertanian Kelantan (Kada) yang enggan berjumpa petani kerana tidak mendapat tuntuan perbatuan.
"Bagaimanakah caranya untuk membuang sikap ini? Jika ini berterusan sektor pertanian di negara ini tidak akan maju," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kementeriannya sedang memantau perkara tersebut dan percaya ia boleh diatasi.
Bagaimanapun, katanya, pihak kementerian gembira dengan sikap petani yang sudah berubah daripada sekadar bertani untuk makan sendiri kepada komersil.
Masalah kewangan
Dalam perkembangn lain, Timbalan Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamad pula memberitahu Dewan Rakyat bahawa Projek Lebuhraya Kajang-Seremban (Kaseh) terbengkalai sejak setahun lalu kerana pemajunya, Kaseh Sdn Bhd menghadapi masalah kewangan.
Katanya, akibat masalah kewangan tu, projek berkenaan yang sepatutnya siap pada tahun 2000 gagal disiapkan hingga ke hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Langat. Markiman Kobiran yang ingin tahu mengapa lebuhraya Kaseh yang menghubungkan penduduk Kajang dan Seremban, belum siap.
Katanya, Kementerian Kerjaraya sudah memberi dua kali peluang kepada konsesi tersebut untuk menyiapkan lebuh raya berkenaan tetapi mereka masih gagal.

