Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apandi: Kembali ke Umno ibarat ikan pulang ke lubuk
Diterbitkan:  Jul 14, 2018 9:00 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang dilantik menjadi anggota Majlis Tertinggi Umno menegaskan bahawa dia kini mempunyai hak untuk terlibat dalam parti politik memandangkan dia bukan lagi peguam negara.

Malah, jelas Mohamed Apandi, kepulangannya ke Umno ibarat ikan pulang ke lubuk kerana dia pernah menyertai parti itu sebelum ini.

"(Selepas bukan lagi merupakan peguam negara) saya kini boleh menggunakan hak untuk terlibat dengan parti (Umno).

"Lama dulu, saya merupakan anggota Umno. Tapi bila saya menyertai Majlis Peguam, saya tinggalkan parti," katanya seperti dipetik NST.

Sebelum ini, Mohamed Apandi memberitahu The Malaysian Insider dalam sebuah wawancara bahawa dia sudah keluar dari Umno pada 1991 ketika dia menyertai Majlis Peguam.

Mohamad Apandi merupakan salah seorang daripada 11 yang dilantik oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno hari ini.

Mohamed Apandi menyifatkan pelantikannya itu sebagai satu penghormatan dan berjanji membantu usaha pembaharuan parti itu.

Pelantikannya bagaimanapun tidak disenangi semua pihak.

Ketua Pemuda Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata pelantikan bekas peguam negara itu merupakan "kesilapan politik" kerana rakyat maklum dengan skandal yang dikaitkan dengan Mohamed Apandi.

Ketika menjadi peguam negara, Mohamed Apandi telah membersihkan nama bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku berhubung skandal 1MDB dan SRC International.

Selepas BN kalah dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, Najib kini berdepan dakwaan kes SRC International yang masih dalam siasatan.

Lihat Komen
ADS