PKR Kelantan harap Anwar, Azmin tidak ditandingi
PKR Kelantan berharap keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden parti itu tidak akan menerima tentangan daripada pimpinan lain.
Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir berkata, Anwar perlu berada dalam barisan kepimpinan tertinggi memandangkan jawatan ketua umum yang disandangnya tiada dalam hierarki parti.
"Beliau perlu berada di jawatan yang paling tinggi untuk mengemudi parti dan gabungan Pakatan Harapan itu sendiri.
"Pun begitu bukanlah kepimpinan presiden sekarang tidak di perlukan tetapi sudah tiba masanya Anwar diberikan tempat yang sewajarnya di dalam posisi pentadbiran," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Selain jawatan presiden, PKR Kelantan juga berharap jawatan timbalan yang kini disandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan dipertandingkan demi menjaga keharmonian parti.
"Gandingan Anwar dan Mohamed Azmin satu gandingan yang cukup padu untuk memandu parti dan pastinya diterima baik majoriti anggota parti seluruh negara.
"Mereka adalah individu yang paling layak buat masa ini untuk memimpin PKR," jelas Ab Aziz.
Terdahulu, Anwar mengumumkan beliau akan bertanding bagi jawatan presiden bagi pemilihan PKR akan datang.
Keputusan dicapai selepas perbincangan dengan presiden yang juga isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, timbalan presiden Datuk Seri Mohamad Azmin Ali serta kepimpinan lain.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.