Umno Kelantan mendakwa ada pihak yang menyamar sebagai anggota Puteri Umno dan menelefon bertanyakan perkara yang menyinggung perasaan pengundi.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa berkata, beliau terpaksa mendedahkan perkara itu supaya pengundi tidak terperangkap dengan taktik itu.

"Kita mengesan beberapa orang membuat panggilan kepada pengundi dengan mendakwa mereka dari Pergerakan Puteri dan bertanyakan perkara yang menyinggung perasaan pengundi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat Kelab Ahli Parlimen Malaysia di Peti Undi Kasa di Pasir Mas hari ini.

Katanya, beliau yakin perkara itu dilakukan pihak lawan untuk menimbulkan kemarahan pengundi memandangkan Puteri Umno tidak menjalankan kempen melalui telefon.

"Saya nak menegaskan sekali lagi prinsip kempen Barisan Nasional (BN) adalah bersopan, mesra dan perbuatan yang janggal itu diada-adakan oleh pihak lawan, sebagai strategi mereka selain menyebar maklumat palsu, dan yang terbaru mendakwa ada ahli Umno tertentu keluar beramai-ramai menyertai parti mereka", katanya.

Menurut laporan Bernama, Annuar mendakwa bahawa parti lawan semakin rancak menyebarkan risalah berbau fitnah dengan menggunakan taktik "serangan peribadi".

'Guna SMS'

"Jadi, ini nampaknya gabungan taktik politik kotor, menyogok barangan dan memberi duit dan mengugut, menggunakan telefon palsu dan menghantar SMS untuk cuba melaga-lagakan pemimpin untuk mendapat kemenangan", katanya.

Annuar berharap pengundi tidak akan terperangkap dengan taktik itu sambil menyeru supaya ia dihentikan segera.

Beliau juga berkata, cadangan wakil rakyat BN untuk meletakkan jawatan beramai-ramai bagi membolehkan pilihanraya keseluruhan di Kelantan diadakan semula, tidak termasuk dalam kategori meletakkan jawatan tanpa sebab.

Mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa mereka yang meletakkan jawatan tanpa sebab, tidak boleh bertanding dalam tempoh lima tahun, Annuar berkata, meletakkan jawatan dengan sebab yang amat besar kerana kerajaan negeri sudah hilang

kepercayaan rakyat, tidak termasuk dalam meletak jawatan tanpa sebab dari segi pentafsirannya.

Bagaimanapun, Annuar berkata, pihaknya tidak lagi berminat hendak membincangkan isu itu kerana Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Exco kerajaan Kelantan Husam Musa telah pun menegaskan mereka tidak bersedia untuk menyerahkan mandat kepada rakyat.

Katanya, Umno tidak lagi melayan isu yang berkaitan dengan peletakan jawatan selepas mendapat jawapan daripada Nik Abdul Aziz berhubung perkara itu.