Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anak mati, ibu bapa dakwa pihak berkuasa banyak alasan

Sekumpulan ibu bapa malang mendakwa pihak berkuasa tidak serius menjalankan siasatan terhadap kes kematian serta kecederaan bayi dan kanak-kanak di tangan pengasuh.

Lima pasangan suami isteri hari ini tampil membuat dakwaan itu dalam sidang media bersama Persatuan pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kuala Lumpur, kira-kira dua minggu selepas kematian tragis Adam Rayqal yang mayatnya ditemui dalam peti ais.

Daripada lima pasangan itu, tiga daripada mereka kematian anak semasa jagaan pengasuh manakala dua lagi kes melibatkan kecacatan seumur hidup.

Kesemua mereka telah membuat laporan polis dan mendakwa aduan-aduan itu tidak ditangani secara serius.

"Bila polis dah buat siasatan, saya pun selalu telefon pegawai penyiasat itu namun dia kata tak perlu selalu telefon dan mereka akan maklumkan pada saya.

"Tapi sampai awal bulan 7 (Julai) tak ada perkembangan. Macam-macam alasan pegawai penyiasat beri bila saya hubungi. Dia kata tak boleh bercakap sebab tak ada suaralah, tak sihatlah.

"Sehingga sekarang saya masih tidak tahu status siasatan dan tidak dibenarkan baca laporan daripada Pejabat Pendakwa Raya. Alasannya, ia adalah sulit," kata Abu Nain Umar ketika ditemui Malaysiakini.

Abu Nain, 29, juga mendakwa tidak dimaklumkan sama ada pengasuh anaknya itu telah disoal siasat atau tidak, selain tiada tangkapan dibuat.

Anak sulung Abu Nain Abu Zea Ophelia meninggal dunia pada 4 Januri lalu ketika umur tujuh bulan.

Hasil bedah siasat mendapati Abu Zea Ophelia mengalami keretakan di kepala sepanjang 8 sentimeter akibat hentakan terhadap objek tumpul.

Abu Nain memberitahu, sebelum anaknya dihantar ke pengasuh, Abu Zea masih lagi elok seperti bayi biasa.

Namun pada 29 Disember, beliau menerima panggilan daripada pengasuh bahawa si kecil itu berada di zon merah Hospital Shah Alam.

Hati bapa mana yang tidak luluh melihat anak kesayangan terbaring di wad kecemasan. Beliau membuat laporan polis pada hari yang sama.

Selepas beberapa minggu terlantar, Abu Zea kemudian meninggal dunia.

Bagaimanapun, apa yang menyedihkan, sebagai bapa, Abu Nain mendakwa tidak mengetahui status siasatan polis terhadap kematian anaknya selama kira-kira hampir enam bulan.

Sementara itu, perkara sama turut dikongsi oleh Siti Shahida Sha’ari, 32, yang mendakwa kes kematian anaknya yang berusia tiga bulan tidak disiasat dengan serius oleh polis.

Siti Shahida berkata, kematian anak lelakinya Khalif Ubaidah pada 12 Mac lalu, sehingga hari ini tidak diketahui punca kerana pihak polis didakwa enggan memberi kerjasama.

Malah, beliau juga pernah dihalang untuk menceritakan kronologi kematian anaknya oleh salah seorang anggota polis yang bertugas di sebuah balai polis di Selangor semasa laporan hendak dibuat.

Siti Shahida telah melakukan tiga laporan polis ekoran kes kematian anaknya itu.

“Sehingga hari ini saya tidak tahu apa punca kematian anak saya walaupun dua kali bedah siasat dibuat.

"Apa yang mengecewakan saya ialah bedah siasat dibuat oleh doktor biasa dan bukan doktor pakar dan ada juga pihak polis datang kepada saya dan minta supaya bedah siasat tak perlu dibuat.

"Sampai sekarang saya tak tahu punca kematian anak saya,” katanya semasa sidang media yang turut memberitahu keputusan bedah siasat pertama, doktor memberitahu punca kematian tidak boleh dikaitkan dan diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat itu turut menjelaskan, meskipun pihak pengasuh mengaku ada melakukan sesuatu terhadap anaknya, namun tiada sebarang tangkapan dilakukan.

“Polis tak ada datang rumah saya. Tak ada siasatan dibuat. Pengasuh tak kena tangkap. Tak ada apa-apa.

“Kita sangat kecewa. Kita bukan nak desak polis, kita bagi ruang dan masa tetapi kita mesti diberitahu tentang status dan kemajuan (siasatan),” katanya.

Beliau mendakwa terdapat saudara pengasuh itu yang bekerja balai tempat laporan dibuat.

Ekoran kejadian itu juga, anak sulungnya Siti Shahida yang kini bersekolah rendah tidak mahu ke sekolah kerana diejek kononnya menyebabkan kematian adiknya.

Polis Shah Alam arah teliti semula kes

Sementara itu, Ketua Polis Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib memberitahu, beliau telah mengarahkan agar pegawainya meneliti semula kes berkaitan kematian adik Abu Zea.

"Polis akan meneliti semula, buat kajian semula. Saya dah arahkan CID (Jabatan Siasatan Jenayah) untuk kaji semula kes itu dengan bukti-bukti yang ada.

“Saya dah bagi arahan kepada CID untuk serah balik IP (kertas siasatan) itu untuk siasatan lanjut,” ujar Baharudin.

Lihat Komen
ADS