Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tian Chua tarik balik cabaran kes SPR batal pencalonannya

Naib Presiden PKR, Tian Chua telah menarik balik rayuannya terhadap cabarannya di mahkamah kerana hilang kelayakan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Sebaliknya, beliau akan mempertimbangkan untuk mendapatkan pengisytiharan baru mengenai kelayakan umum bagi dirinya untuk bertanding.

Penarikan kes itu diterima Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini, tanpa perintah mengenai kos.

Tian Chua yang nama penuhnya Chua Tian Chiang, berkata keputusan itu dibuat sebagai "mengorak langkah maju ke hadapan".

"Sebagai mengorak langkah maju ke hadapan, satu-satunya pilihan yang berdaya maju adalah dengan memfailkan (tindakan undang-undang) di Mahkamah Tinggi sekali lagi dan diharapkan ia akan menegaskan keputusan terdahulu (yang memutuskan saya dibenarkan bertanding).

RO batal kelayakan

"Kami hanya mahu memastikan mahkamah boleh membersihkannya dan mengeluarkan perintah bahawa saya tidak ada masalah untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang dan juga layak untuk dinamakan sebagai calon anggota dewan perundangan," katanya kepada media selepas itu.

Pada hari penamaan, bekas anggota parlimen Batu itu dibatalkan kelayakan Pegawai Pengurus SPR (Returning Officer) Anwar Mohd Zain atas alasan Tian Chua telah didenda RM2,000 kerana menghina seorang pegawai polis.

Tindakan SPR tersebut bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membolehkan beliau bertanding dalam PRU13, walaupun beliau juga telah membayar denda RM2,000 untuk kes berasingan.

Oleh itu, Chua memohon pengisytiharan bahawa beliau layak untuk bertanding seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan dan satu lagi perisytiharan bahawa beliau boleh bertanding dalam PRU14.

'Petisyen pilihan raya'

Pada 4 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak kes Chua dalam kes PRU14 selepas Hakim Datuk Nordin Hassan memutuskan kes itu sepatutnya menjadi petisyen pilihan raya dan dengan demikian akan dipengerusikan oleh ketua hakim negara atau hakim pilihan raya yang dilantik khas.

Hari ini, peguam Gurdial Singh Nijar yang mewakili Tian Chua memaklumkan kes asal diletakkan dalam konteks PRU14 memandangkan ia difailkan menjelang hari pengundian 9 Mei.

"Keputusan Mahkamah Tinggi adalah kerana permohonan ini difailkan berhubung dengan penolakan Chua oleh RO, yang berkaitan dengan pencalonannya untuk PRU14 dan oleh itu ia berkaitan dengan pilihan raya.

"Kami akan membuat permohonan semula di Mahkamah Tinggi supaya statusnya diisytiharkan dan dijelaskan sekali lagi," katanya.

Sebelum itu, surat dihantar kepada SPR untuk mendapatkan pendirian rasmi mengenai kelayakan Chua bertanding dalam pilihan raya, kata Gurdial.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS