Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khaled ke Perlis: Shahidan akan minta penjelasan Zahid

Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau akan mendapatkan penjelasan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung pelantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, menggantikan dirinya.

Beliau bagaimanapun berkata akur dengan pelantikan itu dan keutamaannya kini adalah memastikan Umno terus bersatu.

“Walaupun saya mengetuai (Umno negeri pada) PRU lalu dan menang majoriti dua pertiga majoriti di Perlis, kita kena akur apabila presiden membuat keputusan.

"Gaduh tidak menguntungkan apa-apa, saya perlu berjiwa besar. Namun saya akan mendapatkan penjelasan daripada presiden berhubung perkara ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sabtu lalu, Ahmad Zahid mengumumkan Mohamad Khaled - sebelum ini menteri besar Johor - dilantik untuk mengetuai Umno Perlis menggantikan Shahidan.

Mohamad Khaled sendiri mengakui keputusan itu mengundang banyak persoalan di kalangan pemimpin Umno negeri itu dan berharap Ahmad Zahid segera memberikan pencerahan.

Pada PRU lalu, di saat banyak negeri jatuh ke tangan Pakatan Harapan, BN Perlis cemerlang dengan menang 10 daripada 15 kerusi DUN dan dua daripada tiga kerusi parlimen.

Namun mereka menjadi perhatian ekoran krisis pelantikan menteri besar yang yang tercetus selepas Shahidan mengumumkan BN mencalonkan ADUN Tambun Tulang yang juga adiknya Datuk Ismail Kassim sebagai menteri besar baru menggantikan Datuk Seri Azlan Man yang mendapat sokongan istana.

Sembilan ADUN BN kemudian memboikot istiadat pelantikan Azlan. Krisis itu berlanjutan beberapa minggu sehinggalah lapan ADUN mengangkat sumpah sebagai exco pada 13 Jun lalu.

Shahidan berkata walaupun pemimpin Umno Perlis mempunyai perbezaan pendapat, mereka bersatu ketika pilihan raya.

“Sejak merdeka, kita mengekalkan kemenangan majoriti dua per tiga dan Perlis masih merupakan negeri yang mantap,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS