Warga China guna Msia sebagai transit ke negara Eropah
Jabatan Imigresen percaya warga China menggunakan Malaysia sebagai "transit" atau pusat persinggahan dengan menggunakan pasport palsu Korea Selatan untuk laluan ke negara-negara lain terutama Eropah.
Jabatan Imigresen percaya warga China menggunakan Malaysia sebagai "transit" atau pusat persinggahan dengan menggunakan pasport palsu Korea Selatan untuk laluan ke negara-negara lain terutama Eropah.
Pengarah Penguatkuasaan jabatan itu, Datuk Ishak Mohamed berkata, urusan itu dijalankan oleh ejen-ejen bagi rakyat China itu yang berada di Malaysia dengan pas lawatan sosial dikeluarkan oleh kerajaan China.
"Warga China tidak menghadapi kesukaran jika mereka menggunakan pasport Korea Selatan kerana Korea Selatan sebuah negara membangun dan anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). Mereka menghadapi kesulitan jika menggunakan pasport (China) asal," katanya kepada Bernama semalam.
Beliau percaya sindiket itu dikendali oleh orang asing. Kegiatan sindiket itu terbongkar bila jabatan menahan 70 warga China dalam operasi baru-baru ini di seluruh negara.
"Satu kejadian ialah bila 31 warga China tiba di Kuala Lumpur menaiki pesawat dari Brunei. Dari KLIA mereka berlepas ke Istanbul. Pegawai Imigresen di sana mengusir mereka keluar selepas mendapati sesuatu yang tidak kena dan kemudian menyedari mereka menggunakan pasport palsu Korea Selatan," katanya.
Ishak juga berkata beliau tidak menolak kemungkinan yang warga China menggunakan pasport palsu Malaysia untuk memasuki negara-negara Eropah, tetapi menegaskan beliau belum menemui kejadian sedemikian setakat ini.
Tinggal lebih masa
Beliau berkata, jabatannya akan mematuhi arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad supaya diwujudkan kerjasama rapat antara jabatannya dengan polis dan Kedutaan China untuk mengesan warga China yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Ishak mengulas laporan akhbar yang menyatakan kira-kira 50,000 warga China yang telah memasuki negara ini sebagai pelancong tahun ini, telah tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan belum meninggalkan negara ini.
Sementara itu, Jabatan Imigresen Selangor menahan 12 warga China yang bekerja di sebuah pusat urut kaki di Petaling Jaya semalam kerana disyaki menyalahgunakan pas kemasukan ke negara ini.
Warga China itu, berumur antara 20 hingga 42 tahun itu, ditahan bersama seorang rakyat Thailand dan seorang lagi warga Myanmar, dalam satu serbuan di rumah kedai Taman Sea Petaling Jaya kira-kira jam 11.15 malam.
Ketua Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor Mohamed Khali Ali berkata, seorang daripada yang ditahan itu yang berusia 28 tahun, memasuki negara ini menggunakan pas pelajar dan dua lagi menggunakan pas lawatan sosial.
Yang lainnya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah atau tinggal melebihi had yang dibenarkan, katanya.

