Portugis bawa keranda bantah projek Melaka Gateway
Seramai 200 penduduk dari Penempatan Portugis di Bandar Hilir, Melaka hari ini mengadakan 'upacara pengebumian' sebagai simbolik membantah aktiviti penambakan laut bagi projek Melaka Gateway.
Mereka berkumpul dan membawa keranda ke pejabat KAJ Development Sdn Bhd, pemaju utama projek tepi laut bernilai RM43 bilion itu, menurut Guang Ming Daily.
Selain itu, mereka juga dilapor berbaring di dalam keranda berkenaan sambil menaburkan pasir ke dalamnya.
Langkah itu menurut penduduk sebagai simbolik terhadap tindakan pemaju yang diumpamakan seperti meletakkan pasir dalam periuk nasi mereka.
Ramai penduduk kampung dari Penempatan Portugis secara tradisinya menangkap ikan untuk menyara hidup tetapi mendakwa kegiatan penambakan telah menjejaskan mata pencarian mereka.
Sekumpulan 80 nelayan melakukan "protes" yang sama terhadap projek itu dengan membawa keranda pada tahun 2015.
Bagaimanapun, seorang pengurus besar KAJ Development, yang bertemu pihak akhbar selepas protes tersebut, berkata syarikat itu tidak menerima protes rasmi dari penduduk kampung sebelum ini.
Beliau juga menegaskan projek itu dilaksanakan dengan mematuhi peraturan.
KAJ Development hari ini menegaskan projek Melaka Gateway berjalan lancar sekali gus mengetepikan kebimbangan bahawa projek itu mungkin ditangguhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
KAJ Development melibatkan pelbagai firma gergasi China untuk membangunkan projek itu, yang antara lain terdiri daripada pelabuhan, terminal kapal pesiar dan marina.

