story image
mk-logo
Berita
'Urus niaga SSER-China ada unsur gubah wang haram'
Diterbitkan:  Jul 17, 2018 9:27 AM
Dikemaskini: 9:52 AM

Terdapat bukti dua projek saluran gas yang ditangguhkan kerajaan terlibat dalam penggubahan wang haram, dakwa Anggota Parlimen Damansara Tony Pua.

"Keseluruhan projek ini seperti skim penipuan. (Terdapat) eleman penggubahan wang haram yang cukup jelas berlaku," beliau memberitahu BBC dalam wawancara yang terbit semalam.

"Kami (Malaysia) memberikan wang - kepada syarikat China - dan kami syak wang ini salurkan kepada pihak-pihak yang berkaitan dengan pentadbiran (BN) sebelum ini," kata Pua seperti dipetik BBC.

Beliau yang kini menjadi pegawai khas (jawatan kontrak enam bulan) kepada menteri kewangan berkata kementerian itu percaya bahawa wang itu digunakan untuk membayar hutang yang dikaitkan dengan 1MDB.

Menurut Pua, hutang tersebut dianggarkan kira-kira RM48 bilion.

Keluar RM8.25 bilion

Pada 5 Jun, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan bekas penyandang jawatannya, Datuk Seri Najib Razak telah mengeluarkan RM8.25 bilion atau 87.7 peratus daripada kos untuk kedua-dua projek itu, walaupun hanya sedikit kerja telah dilakukan.

Kedua-dua projek adalah Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) di Melaka yang bernilai RM5.35 bilion dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) bernilai RM4.06 bilion. Kerja untuk kedua-dua projek Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) itu bermula pada bulan April tahun lepas.

Kontraktor kedua-dua projek ini ialah China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB), anak syarikat China National Petroleum Corporation yang merupakan pembina saluran paip terbesar di China. Bank Exim China membiayai 85 peratus kos projek.

Susulan hal ini, Najib berhujah urus niaga itu mematuhi undang-undang dan sebagai balasannya China berjanji mengimport barangan bernilai AS$2 trilion dari Malaysia selama lima tahun dan melaburkan AS$150 bilion di Malaysia.

Kemudiannya, Lim mempertikaikan kenyataan bekas perdana menteri itu.

'Lawatan PM ke China'

Lim juga menegaskan beberapa individu yang terlibat dalam SSER juga terlibat dengan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Kedua-dua 1MDB dan SRC International pada masa ini menjadi subjek siasatan manakala Najib menghadapi empat pertuduhan jenayah melibatkan dakwaan menerima lebih RM42 juta daripada SRC International.

Dalam perkembangan berkaitan, Duta Besar China, Bai Tian, berkata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin akan berkunjung ke China hari ini untuk membincangkan projek Landasan Berkembar Pantai Timur (ECRL) yang digantung.

"(Saya percaya) kedua-dua pihak boleh mencari penyelesaian menang-menang (untuk semua)," katanya, petik laporan Nanyang Siang Pau.

Beliau memaklumkan lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China sedang dimuktamadkan.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS