TPM: BN akan kotai janji bina universiti di K'tan
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) akan tetap mengotakan janji membina sebuah universiti awam di Kelantan jika ia berjaya membentuk kerajaan di negeri itu.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) akan tetap mengotakan janji membina sebuah universiti awam di Kelantan jika ia berjaya membentuk kerajaan di negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan mesyuarat kabinet hari ini membuat ketetapan untuk mengesahkan janji yang dibuat sebelum pilihanraya umum lalu, bahawa sebuah universiti awam akan dibina di Kelantan sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya menubuhkan kerajaan di negeri itu.
Katanya, penjelasan itu bertujuan meyakinkan rakyat Kelantan, khususnya pengundi di kawasan pilihanraya kecil Pengkalan Pasir mengenai kesungguhan kerajaan BN dalam mengotakan janjinya itu.
Najib, yang mengulangi janji tersebut semasa melawat Pasir Mas baru-baru ini, berkata ada pihak yang cuba mengelirukan rakyat negeri itu dan pengundi Pengkalan Pasir dengan memutarbelitkan satu laporan media Ahad lalu yang menyebut tidak ada universiti baru akan ditubuhkan.
Menurut laporan Bernama , Najib berkata, mereka cuba menanamkan rasa tidak percaya rakyat Kelantan terhadap BN dengan mengatakan ia janji bohong, berdasarkan laporan media yang memetik Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh sebagai berkata, tidak ada universiti baru akan dibina.
"Memang benar tidak ada universiti penyelidikan yang akan didirikan, tetapi Menteri Pengajian Tinggi tidak memaksudkan bahawa janji pilihanraya yang kita telah buat untuk mendirikan sebuah universiti di Kelantan, tidak akan dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.
Najib memberitahu pemberita di Kuala Lumpur bahawa berkata pihak berkenaan sengaja memutarbelitkan kenyataan Shafie supaya rakyat Kelantan, khususnya pengundi di Pengkalan Pasir, tidak menyokong BN dalam pilihanraya kecil 6 Disember ini.
Akhbar berkenaan memetik Shafie sebagai berkata, kerajaan tidak akan membina universiti baru yang khusus, sebaliknya mengubah status universiti awam sedia ada sebagai universiti penyelidikan.

