Calon BN diumumkan malam esok
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata "beliau sudahpun mendapat ilham" mengenai calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Pengkalan Pasir.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata "beliau sudahpun mendapat ilham" mengenai calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Pengkalan Pasir.
Perdana Menteri bagaimanapun enggan mengumumkan nama calon berkenaan dan menyerahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa untuk berbuat demikian.
"Saya dah dapat ilham dah dah saya dah tahu siapa, tapi tunggulah Annuar umumkan secara rasmi.".
"Terserah pada dialah bila nak umumkan. Kalau anda media, nak korek, saya tidak akan umumkannya juga," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan penganjuran Piala Monsun 2005 di Pulau Duyung dekat Kuala Terengganu.
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri meluangkan masa hampir dua jam meninjau dan mendengar taklimat mengenai kejohanan perahu layar itu, yang akan berlangsung dari 29 November hingga 4 Disember ini.
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh.
Penamaan calon pilihan raya kecil itu akan diadakan Ahad ini dan pengundian pada 6 Disember.
Ketika diminta untuk bayangkan sama ada calon berkenaan anak tempatan atau adakah ia calon lama, Perdana Menteri secara berseloroh berkata: "Kalau saya cakap, baik saya saja yang umumkan.
'Mesti kerja kuat'
"Di Pengkalan Pasir, saya tak kenal, muka baru ke, muka lama ke...siapakah calon BN yang lepas ataupun yang baru."
Mengenai kriteria pemilihan calon, Abdullah berkata dia mestilah orang yang baik, sedia berkhidmat kepada rakyat, sanggup berkerja kuat dan berkebolehan.
Sementara itu, di Kota Bharu, Annuar berkata beliau akan mengumumkan nama calon BN pada malam esok.
Katanya, pengumuman tersebut akan dibuat di Sekolah Menengah Perempuan Pasir Mas pada 9 malam.
Katanya, beliau telahpun mendapat persetujuan Perdana Menteri untuk mengumumkan nama calon BN itu.
Antara nama yang disebut-sebut ialah Timbalan Ketua Umno bahagian Pasir Mas Hanafi Mamat, Naib Ketua Umno bahagian Che Johan Che Pa, Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno Pasir Mas Tuan Anuwar Tuan Mat dan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman.

