Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas berkata, kes tertunggak di mahkamah banyak membabitkan peguam yang menjadi ahli politik, terutama dari parti pembangkang.

Katanya, peguam yang menjadi ahli politik mudah mendapat pelanggan tetapi akibat kesibukan, sering meminta kes mereka ditangguhkan.

Menurutnya, sebahagian besar kes tertangguh melibatkan kesalahan sivil dan jenayah di mahkamah majistret.

Katanya, kini terdapat lebih 500,000 kes tertunggak di seluruh negara dan yang paling lama ialah di Mahkamah Majistret Sarikei, sejak tahun 1993.

"Sebahagian besar penangguhan kes adalah atas permintaan peguam sendiri. Perkara ini berlaku kerana peguam mengambil banyak kes hingga tidak dapat mengendalikan kes berkenaan.

"Orang ramai menuding jari kepada hakim apabila banyak kes tertangguh sedangkan ia berlaku atas kehendak peguam," jelasnya dalam sesi soaljawab di parlimen hari ini.

Kenalpasti peguam

Sehubungan itu, Kayveas berkata, pihaknya meminta Majlis Peguam mencari jalan bagi mengatasi masalah tersebut, termasuk mengenalpasti peguam yang paling banyak menangguhkan kes di mahkamah.

Beliau berkata, pihaknya juga menerima aduan terdapat peguam mengenakan caj yang tinggi kepada pelanggan tetapi menghantar peguam muda ketika perbicaraan kerana terlalu sibuk untuk mengendalikan kes tersebut.

Kayveas berkata, sebab lain yang menyebabkan kes tertangguh ialah hakim cuti sakit atau menghadiri seminar dan saksi tidak datang atas beberapa sebab seperti sakit dan ada komitmen lain.

Katanya, sesetengah kes boleh diselesaikan dengan mudah jika kedua-dua pihak peguambela dan pendakwaraya boleh bertolak ansur terhadap sesuatu kes.

Mengenai cadangan Pejabat Peguam Negara supaya saksi dipasang gelang bagi memudahkan mengesan mereka, Kayveas berkata, perkara tersebut hanya di peringkat cadangan.

Bagaimanapun, katanya, ia telah digunakan di banyak negara di Eropah dan amat sesuai untuk kes jenayah seperti pembunuhan.