Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mempersoalkan keputusan kerajaan memberikan kontrak membina landasan keretapi berkembar kepada syarikat yang memberi sebutharga yang tinggi, sedangkan terdapat syarikat lain menawarkan harga lebih rendah.

Lim bertanya, mengapa tender United Engineer (M) Berhad (UEM) yang bernilai RM1.1 bilion diterima sedangkan kumpulan DRB menawarkan harga RM700 juta?

"Adakah perkara ini berlaku kerana perunding kepada projek tersebut iaitu Kinta Samudera Kellas (KSK), anak syarikat UEM," soalnya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau hairan mengapa kerajaan memberi tender kepada UEM sedangkan ia boleh menjimatkan RM400 juta jika dilaksanakan oleh Kumpulan DRB.

"Adakah ini skandal politik kerana UEM dimiliki oleh orang-orang Umno," tanya beliau.

Lim berkata, lebih menghairankan lagi, kontrak telah diberi kepada UEM tetapi terma perjanjian belum dibuat dan kontraktor dikehendaki menyiapkannya pada tahun 2008.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Pengangkutan, Robert Lau Ho Chu yang menjawab soalan Lim itu hanya berkata, tiada salahnya ahli Umno berniaga.

Beliau juga memberitahu, kerajaan masih berbincang dengan kontraktor berkenaan tentang terma kontrak berkenaan.

Sementara itu Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) yang mencelah, mendakwa, Lim membangkitkan isu tersebut kerana mahu berbaik-baik semula dengan PAS.

Katanya, Lim tidak dapat berkempen dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, Kelantan, lalu beliau membangkitkan isu itu di parlimen supaya PAS menerima mereka semula.