Kabinet nasihat anggota polis tarik balik saman terhadap Foo
Terjemahan Para menteri yang menghadiri mesyuarat mingguan kabinet bersetuju agar seorang anggota polis menarik balik saman malu yang difailkannya terhadap seorang remaja, Foo Tze Kuan yang membuat aduan pelakuan rasuah terhadapnya.
Terjemahan Para menteri yang menghadiri mesyuarat mingguan kabinet bersetuju agar seorang anggota polis menarik balik saman malu yang difailkannya terhadap seorang remaja, Foo Tze Kuan yang membuat aduan pelakuan rasuah terhadapnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata, para menteri juga memutuskan bahawa sebarang tindakan mengancam atau mengugut mereka yang membuat laporan terhadap anggota polis, boleh menjejaskan usaha kerajaan memerangi rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menemui pegawai kanan polis untuk menyampaikan keputusan kabinet tersebut, katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
"Usaha kerajaan untuk memerangi rasuah akan terjejas sekiranya orang yang membuat aduan terhadap anggota polis kena saman. Ini akan menghalang orang ramai daripada membuat aduan mengenai perbuatan rasuah," katanya.
Semalam, Foo menceritakan perkara tersebut ketika menemui Nazri selaku pengerusi Kaukus Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia.
Dia telah membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) Jun tahun lalu selepas beberapa anggota polis didakwa meminta rasuah RM300 selepas dia dikatakan melakukan kesalahan trafik di Seremban.
Seorang daripada mereka didakwa di mahkamah Mac lalu tetapi dibebaskan bulan lalu atas sebab teknikal. Bagaimanapun anggota polis tersebut memfailkan saman malu terhadap Foo Mei lalu. Pendengaran kes tersebut yang dijadualkan minggu lalu, telah ditangguhkan ke Januari depan.
Hak Individu?
Nazri juga menolak kenyataan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Noh Omar pagi ini bahawa memfailkan saman sivil merupakan hak seseorang individu.
"Ini bukan pokoknya. Pokoknya ialah anda tidak boleh mengambil tindakan terhadap orang yang membuat aduan kepada BPR. Walaupun saman sivil, ia boleh dianggap sebagai satu ancaman...lebih-lebih lagi apabila saman sivil itu difailkan sebelum mahkamah membuat keputusan mengenai kes (rasuah) tersebut," katanya.
Katanya, saman sivil terhadap Foo bercanggah dengan kepentingan awam dan boleh menjejaskan ketenteraman awam.
"Jika seseorang yang dibebaskan daripada tuduhan dalam kes jenayah, menfailkan saman sivil terhadap orang yang membuat aduan polis terhadap mereka, perkara itu tidak akan berakhir. Jadi bagaimana anda hendak memastikan ketenteraman awam," soalnya.
Oleh itu, beliau menggesa supaya anggota polis bersikap terbuka terhadap aduan yang dibuat terhadap mereka.
"Kita memberi kepercayaan kepada pihak polis untuk menjaga keselamatan kita. Jika mereka mengambil pendekatan yang kasar berhubung aduan terhadap mereka, maka orang ramai akan hilang keyakinan terhadap pasukan polis. Kita tidak mahu ini berlaku," katanya.
Mengenai dakwaan beberapa rakyat China bahawa mereka diberi layanan buruk oleh polis Petaling Jaya, Nazri berkata, kabinet juga merasakan perlu dikekalkan hubungan baik dengan negara China dan oleh itu pihak polis perlu bersikap adil terhadap wanita China yang memasuki negara ini.
Katanya, Duta China di Kuala Lumpur, Wang Chungui, menghubunginya semalam dan menyatakan China tidak akan menyalahkan Malaysia jika bertindak terhadap rakyatnya yang melanggar undang-undang negara ini.
Bagaimanapun, katanya, Wang meminta supaya pihak berkuasa tidak mensasarkan kepada rakyat China yang melawat negara ini.

