Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berapa rakyat bayar untuk k’jaan Mahathir berbanding Najib?
Diterbitkan:  Jul 20, 2018 12:28 PM
Dikemaskini: 4:48 AM

Selasa lalu menyaksikan kumpulan terakhir menteri dan timbalan menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) mengangkat sumpah jawatan dan selaras dengan janjinya, membariskan kerajaan yang lebih kecil.

Kerajaan baru Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menelan kos RM7.96 juta setahun, selepas pemotongan gaji 10 peratus yang dipersetujui kabinet.

Berbanding dengan kabinet terakhir bekas perdana menteri Datuk Najib Razak di bawah pemerintahan BN sebelum ini, kosnya adalah kira-kira RM11.23 juta setahun.

Mahathir sebelum ini berjanji bahawa kabinetnya tidak akan dianggotai oleh lebih 30 menteri.

Kiraan terakhir terdapat 28 orang, termasuk perdana menteri dan timbalan perdana menteri. Terdapat juga 27 timbalan menteri, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 55 orang.

Sebaliknya, kerajaan Najib mempunyai 68 orang terdiri daripada 35 menteri, termasuk perdana menteri dan timbalan perdana menteri, serta 33 timbalan menteri.

Walau bagaimanapun, beberapa menteri di kedua-dua kerajaan Harapan dan BN memegang lebih dari satu jawatan.

Di bawah kerajaan HARAPAN, 28 orang memegang 29 jawatan - khususnya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Sementara itu, di bawah kerajaan BN sebelum ini, 35 orang memegang 38 jawatan.

Najib juga adalah menteri kewangan ketika itu, manakala timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga adalah menteri dalam negeri sementara menteri pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga dilantik sebagai menteri tugas khas.

Bilangan kementerian di bawah kedua-dua kerajaan kekal sama, iaitu pada 25.

Walau bagaimanapun, sesetengahnya disusun semula dengan portfolio tertentu yang dipecah atau digabungkan.

Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 memperincikan bukan sahaja gaji ahli parlimen tetapi juga menteri dan timbalan menteri.

Menurut undang-undang, perdana menteri layak menerima sebanyak RM22,826.65 sebulan manakala timbalan perdana menteri pula mendapat gaji sebanyak RM18,168.15 sebulan.

Bagi menteri, mereka menerima gaji sebanyak RM14,907.20 sebulan dan timbalan menteri pula menerima RM10,847.65 sebulan.

Jumlah itu tidak termasuk potongan gaji sebanyak 10 peratus yang dipersetujui untuk dilaksanakan.

Lihat Komen
ADS