Mappim, UMMAH terima pelawaan Maszlee minum teh tarik
Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan 300 Ngo Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menerima jemputan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk minum petang bersama-sama ketika demo bagi membantah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pada 28 Julai ini.
Ketua Eksekutif Mappim, Mohd Zai Mustafa yang juga anggota jawatankuasa UMMAH berkata, Maszlee membuat jemputan untuk "minum teh tarik dan makan di kedai mamak' ketika memberikan respon mengenai demo anjuran NGO berkenaan baru-baru ini.
"Walaupun ini suatu jemputan yang menjengkelkan dari seorang menteri, Mappim dan UMMAH bersedia menerima undangan tersebut.
"Cumanya jangan jemputan ajak-ajak ayam. Nyatakan di mana dan jam berapa kami pimpinan UMMAH akan hadir," katanya.
UEC merupakan sijil dikeluarkan Sistem Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia (SMPC).
Isu ini mula diperkatakan semula pada 8 Jun lalu apabila timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata kerajaan akan berusaha menyelesaikan isu itu sebelum hujung tahun ini.
Sebelum ini Maszlee berkata kementerian pendidikan masih dalam proses kajian berhubung pengiktirafan sijil berkenaan dan sebarang keputusan yang dibuat akan bersifat menyeluruh.
Pelaksanaan UEC menerima tentangan hebat daripada beberapa NGO berasaskan Melayu Islam yang berpendapat sijil itu akan menghakis kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Bagaimanapun badan pendidikan Cina berpengaruh Dong Jiao Zong menafikan dakwaan itu dan berkata pihaknya sentiasa menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Pengiktirafan UEC sebelum ini turut terkandung dalam manifesto pilihan raya umum BN.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata lulusan UEC boleh diiktiraf jika mereka memperolehi kredit dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pula mengambil pendekatan lebih sederhana apabila menggesa kurikulum UEC dipinda terlebih dulu agar selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan sebelum ia diiktiraf.

