Menteri: Guru tidak patut pegang lesen kontraktor Kelas F
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini berkata guru-guru tidak sepatutnya memegang lesen kontraktor kelas F.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini berkata guru-guru tidak sepatutnya memegang lesen kontraktor kelas F.
Sehubungan itu, beliau menggesa Persatuan Kontraktor Melayu supaya menggugurkan guru yang memegang lesen kelas F.
"Guru sepatutnya mengajar di sekolah dan bukannya melakukan perkara lain," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu di Kuala Lumpur semalam.
Beliau menggesa kontraktor kelas F supaya tidak memohon untuk mendapatkan kerja kecil-kecilan di sekolah seperti mengusahakan kantin dan membersihkan sekolah.
Menurut laporan Bernama, terdapat kira-kira 38,000 kontraktor bumiputera kelas F di negara ini yang layak melaksanakan kontrak bernilai kurang daripada RM200,000.
Hishammuddin, yang juga Ketua Pemuda Umno berkata beliau akan membantu persatuan itu menyelesaikan bayaran tertunggak bagi kira-kira 50 buah sekolah yang telah dibina.
Terdahulu, presiden persatuan itu, Datuk Roslan Awang Chik meminta Hishammuddin membantu menyelesaikan pembayaran akhir kepada kontraktor terbabit sebelum berakhirnya Rancangan Malaysia Kelapan.
Dalam reaksinya, Hishammuddin berkata, beliau akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi untuk melangsaikan bayaran kepada kontraktor Bumiputera itu.

