Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid tempelak ahli Umno seranah kematian ADUN Balakong
Diterbitkan:  Jul 20, 2018 7:42 PM
Dikemaskini: 11:49 AM

Umno tidak boleh menerima sesiapa di kalangan anggotanya yang mengeluarkan kenyataan tidak wajar terhadap kematian seseorang, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut presiden Umno itu, perbezaan agama atau politik tidak sepatutnya berlarutan sehingga "menyimbahkan" perasaan benci seseorang.

Katanya kecaman tidak wajar dibuat ke atas seseorang walaupun mungkin semasa hayatnya individu terbabit pernah melakukan kesilapan.

"Dalam isu kematian, biarpun berbeza agama - apatah lagi berbeza politik - tidak seharusnya terdapat rasa kebencian yang disimbahkan.

"Umno tidak boleh menerima sesiapa saja di kalangan ahlinya yang mengeluarkan kenyataan berupa seranah biarpun semasa hayatnya mendiang mungkin pernah melakukan kesilapan dengan menghamburkan kata-kata kesat yang berupa cacian," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Anggota Dewan Undangan Negeri Balakong, Eddie Ng Tien Chee yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya awal pagi tadi.

Ng terbunuh selepas kenderaan pacuan empat rodanya merempuh bekalang sebuah lori di kilometer 12 Lebuh Raya Cheras - Kajang.

Sedia letak calon

Pagi tadi bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan mengejutkan orang ramai apabila menyifatkan kematian Ng sebagai berkurangnya "kaki fitnah" di negara ini.

Kata Datuk Razlan Rafii melalui ciapan di Twitter, Malaysia juga menjadi aman dengan terbunuhnya Ng.

Tindakan itu mendapat kecaman hebat orang ramai, malah bekas bos Razlan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, turut mendesak Ahmad Zahid mengecam tindakan Razlan.

Kata bekas ketua Pemuda Umno tersebut parti itu ditolak oleh orang ramai disebabkan oleh perkataan dan perbuatan salah individu tertentu.

"Mesti tunjukkan kepimpinan," ciap Khairy kepada Ahmad Zahid yang pernah ditentangnya untuk jawatan presiden Umno dalam pemilihan akhir bulan lalu.


Baca Akhirnya Razlan minta maaf


Bagaimanapun kenyataan Ahmad Zahid tidak merujuk sebarang nama.

Sementara itu mengenai kekosongan kerusi Balakong, Ahmad Zahid berkata BN bersedia meletakkan calon apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkannya secara rasmi.

Katanya calon itu akan ditentukan setelah perbincangan mengenai perkara itu pada mesyuarat parti-parti komponen BN.

"Calon yang bertanding akan dipilih daripada nama-nama yang akan dikemukakan parti komponen yang meletakkan calonnya pada PRU ke-14 lalu," katanya.

Untuk rekod BN kini wujud dengan hanya tiga parti iaitu BN, MCA dan MIC.

Lihat Komen
ADS