Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan kurangkan pinjam dari China untuk elak negara muflis

Kerajaan berhasrat mengurangkan pinjaman dari China untuk mengelakkan negara ini daripada muflis.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini antara perkara yang akan dibincangkan dalam lawatannya ke China bulan depan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai agenda lawatannya ke China dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) di Petaling Jaya hari ini.

Mahathir berkata kunjungan itu juga merupakan susulan lawatan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin ke China baru-baru ini.

"Tun Daim telah membangkitkan perkara tertentu terutamanya mengenai kontrak yang diberikan. Kami cuba kurangkan jumlah wang yang dipinjam, atau jika tidak negara boleh menjadi bankrap," jelasnya.

Semalam, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Daim dihantar ke China sebagai "utusan khas" untuk 'tujuan khas' menjelang lawatan Mahathir ke republik itu bulan depan.

Mahathir berkata beliau juga akan menjemput syarikat dari China untuk membuat pelaburan di Malaysia menggunakan sumber dan pekerja tempatan.

Sementara itu, mengulas mengenai penahanan ahli perniagaan Jho Low, Mahathir berkata ia mungkin berita palsu kerana beliau tidak mempunyai maklumat mengenai penangkapan itu.

"Seseorang melaporkan bahawa dia telah ditangkap, tetapi saya tak dapat maklumat sama sekali. Saya fikir ia salah satu berita palsu," katanya.

 

Lihat Komen
ADS