Tujuh daripada 10 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang didakwa terbabit dengan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) pernah belajar di Pakistan, kata keluarga masing-masing.

Ketika mengadu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Khamis lalu, keluarga-keluarga itu bagaimanapun menafikan mereka terbabit dengan kegiatan kumpulan itu yang didakwa pernah mendapat latihan ketenteraan di Afghanistan.

Kebanyakannya bekerja sendiri atau bertugas sebagai tenaga pengajar di sekolah agama. Tahanan ISA itu, menurut mereka lagi, "seorang yang banyak menghabiskan masa dengan keluarga, bergiat aktif menyampaikan ceramah (agama) dan kegiatan ekonomi untuk meyara keluarga."

"Suami saya tidak pernah cerita apa-apa mengenai (kegiatan) mujahidin," kata isteri Noorashid Sakib, ahli jawatankuasa Pemuda PAS Johor.

"Suami saya sedang mengajar tahfiz al-Quran semasa polis datang ke sekolah. Beliau telah diminta ke balai dan kemudian ke sana dengan keretanya. Tidak lama kemudian, suami saya balik (dari balai polis) tapi keretanya dipandu oleh polis. Bersamanya beberapa kereta, satu van dan anggota polis bermotosikal," kata Fauziah Masran lagi.

Fauziah bersama enam keluarga yang lain termasuk isteri Menteri Besar Kelantan yang mewakili anak mereka, Nik Adli. Anak lelaki Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu didakwa mengetuai KMM dalam satu mesyuarat di Puchong, Selangor.

Kata Fauziah lagi, lapan anggota polis menggeledah rumahnya yang terletak berhampiran sekolah, tempat suaminya mengajar, di Simpang Renggam.

"Mereka mengambil buku, poster yang ada gambar mujahidin dan beberapa risalah. Saya mendengar polis bertanya suami tentang kitab yang dibawa balik dari Pakistan, tetapi suami saya beritahu semua buku yang dibawa itu telah dirampas semasa hendak dibawa pulang ke Malaysia," jelasnya.

Menurutnya, polis kemudian mengarahkan Noorashid membawa ubat-ubat, baju, ubat gigi dan tuala.

"Apabila saya tanya (polis), mereka cakap akan membawa suami saya ke Kuala Lumpur. Polis beritahu suami saya ditahan mengikut akta ISA dan boleh ditahan selama 60 hari," kata Fauziah, seorang guru di sekolah yang sama.

"Apa yang saya bimbang sekarang ini ialah kesihatan suami saya yang mengidap sakit batu karang," katanya dengan nada sebak.

'Tanya suami awak'

Suasana bilik pengaduan Suhakam itu - yang sesak dengan kehadiran keluarga, penyokong dan wartawan - senyap seketika apabila mendengar cerita Fauziah itu.

Turut hadir di bilik Suhakam waktu itu, beberapa pemimpin parti pembangkang termasuk Presiden PAS Datuk Fadzil Noor, Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar dan hampir 50 penyokong.

Noraini Ismail, dari Manir, Kuala Terengganu memberitahu suaminya Alias Ngah seorang penternak dan dilantik sebagai setiausaha Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) baru-baru ini.

(JSR adalah kumpulan mesyuarat peringkat akar umbi yang dibentuk di kampung-kampung Terengganu selepas PAS menguasai negeri itu pada pilihanraya umum 1999.)

"Mustahil suami saya terbabit dengan kegiatan itu (KMM). Setiap hari suami hantar saya ke sekolah (untuk mengajar), ke tempat ternakan ayam dan ikannya dan kemudian balik bersama keluarga," katanya.

Selain menangkap suaminya, polis turut merampas beberapa risalah, beberapa album gambar, sembilan buku tentang jihad, fail JSR dan komputer kepunyaan Noraini, seorang guru di sekolah menengah kerajaan di daerah itu.

"Kira-kira jam 10 pagi, lebih kurang 10 orang polis datang (ke rumahnya). Saya yang membuka pintu terkejut dan terus memanggil suami saya. Apabila mereka nampak (Alias), polis terus menggarinya. Sementara beberapa anggota polis yang lain menggeledah rumah kami," kata Noraini.

Polis, yang turut menggeledah keretanya, enggan memberitahu alasan suaminya ditangkap.

"Seorang daripada mereka (polis) cuma berkata, 'tanya suami awak, suami awak tahu kenapa'," beritahu Noraini, ketika tangkapan itu masih dalam pantang bersalin selama 29 hari, kepada dua pesuruhjaya Suhakam Prof Mehrun Siraj dan Prof Hamdan Adnan.

Sementara Sles Monirah Sles Math, menantu MB Kelantan, bercerita pada 4 Ogos dua anggota polis ke rumahnya dan meminta suaminya memberikan keterangan di ibu pejabat polis Kota Bharu mengenai satu tunjuk perasaan di Hotel Diamond Puteri awal tahun ini.

"Beliau ke balai polis dengan adik iparnya, Mohd Arif. Menurut Mohd Arif, apabila mereka sampai di balai polis, Nik Adli telah dibawa ke tingkat atas. Sementara dia diarah tunggu di tempat lain.

"Selepas lebih kurang sejam, polis memberitahu (Mohd Arif) suami saya ditahan di bawah ISA," kata Sles Monirah, kini mengikuti pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya cawangan Nilam Puri, Kelantan.

Beliau mendesak polis membuktikan penglibatan suaminya dengan kegiatan KMM seperti yang didakwa.

Bahagian akhir di bawah


AZLINA NGAINON bertugas sebagai wartawan malaysiakini