Terjemahan Pada hari Jumaat, Henry memberitahu bapanya supaya 'jangan bimbang mengenai dirinya'. Dua puluh empat jam kemudiannya, remaja berusia 18 tahun ini dikatakan telah menggantung diri di pusat tahanan Sungai Renggam di Johor.

Dan apa yang berlaku itu tidak dapat diterima sama ada oleh bapanya, H Sreedhran mahupun Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam satu kenyataan semalam, Naib Presiden Pemuda PKR, S Manickavasagam berkata, terdapat banyak persoalan yang timbul berhubung kes tersebut.

Menurut versi rasmi, Henry (foto) menggantung dirinya dengan kain selimut beberapa jam selepas dia dipindahkan ke pusat tersebut dari balai polis Kajang di Selangor.

Memandangkan dia baru dimasukkan ke pusat itu, maka Henry telah ditempatkan dalam bilik tahanan berasingan.

"Reaksi polis ialah mendakwa tidak berlaku sebarang perbuatan khianat. Nampaknya pihak polis tidak menjalankan sebarang siasatan yang serius, tetapi begitu cepat segala membersihkan diri mereka.

"Seperti biasa, dalam kes-kes seumpama itu, pihak berkuasa hospital juga tidak banyak membantu dan nampaknya mereka seperti menerima arahan daripada pihak polis," tambahnya.

Manickavasagam mendakwa, maklumat penting tidak dimaklumkan kepada keluarga mangsa manakala pihak hospital pula lewat menyerahkan laporan bedah-siasat kepada mereka.

'Mencurigakan'

Menurutnya, terdapat beberapa isu yang membangkitkan rasa curiga seperti mengapa mayat Henry hanya ditemui beberapa jam kemudiannya dan ke mana perginya kakitangan yang bertugas di situ.

Berikutan itu, Pemuda PKR menggesa supaya dijalankan siasatan terbuka berhubung kejadian tersebut. Pergerakan itu juga mahu keluarga Henry dan penasihat undang-undang mereka sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan terkini kes tersebut.

Selain itu, pergerakan itu berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar dan Timbalannya, Datuk Musa Hassan, mesti memberi jaminan bahawa perkara tersebut akan disiasat secara adil dan terperinci.

Pergerakan itu juga menyuarakan kebimbangannya mengenai peningkatan jumlah kematian tahanan dan mendakwa pihak berkuasa tidak begitu mengambil serius isu tersebut.

"Kebanyakan kes masih belum selesai. Kami minta supaya semua kes tersebut disemak semula dengan segera dan tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Sreedhran (foto) memberitahu pemberita semalam bahawa beliau tidak percaya yang anaknya itu membunuh diri.

"Jumaat lalu, dia memberitahu saya supaya jangan bimbang tentang dirinya. Lagi pula, kain atau kain selimut yang digunakan adalah tebal dan pendek ia tidak dapat menyekat saluran penafasannya," katanya dalam laporan akhbar the Star.

Menurut bapa mangsa lagi, Henry dikaitkan dengan satu kes bunuh kira-kira setahun lalu dan telah menyembunyikan dirinya.

Dia ditangkap apabila didakwa sedang mencuri sebuah motosikal tiga bulan lalu.

Ketua polis daerah Kluang , Malik Abdul Harun berkata, kes tersebut telah dikategorikan sebagai mati terkejut berdasarkan hasil bedahsiasat yang menunjukkan Henry telah membunuh diri. Berita asal