Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tidak perlu untuk merujuk kepada penasihat Proton Holdings Bhd mengenai pelantikan ketua pegawai eksekutif baru pengeluar kereta nasional itu.

"Saya tidak tahu. Saya membacanya dalam suratkhabar hari ini (semalam). Saya langsung tak tahu apa-apa mengenainya.

"Tak perlu rujuk dengan saya," kata bekas perdana menteri itu yang merupakan penasihat Proton semasa ditanya sama ada beliau dimaklumkan mengenai pelantikan itu.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis penyampaian cek olok-olok Forum Keamanan Global Perdana 2005 bagi penaja-penaja semalam.

Dilaporkan baru-baru ini bahawa Timbalan Pengarah Urusan Perodua Auto Corporation Sdn Bhd, Tuan Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir telah disebut sebagai calon untuk menerajui Proton.

Apabila ditannya mengenai perkara ini, Dr Mahathir berkata: "Saya tak tahu. Saya tak baca nama yang dicadangkan. Siapa yang dicadangkan? Mungkin saya kenal dia tetapi saya tak tahu nama dia."

Apabila ditanya sama ada calon dari Perodua, yang mencatatkan prestasi baik, boleh membantu Proton, beliau berkata, Perodua sebenarnya adalah syarikat Jepun.

"Ia 51 peratus milik Jepun sekarang," katanya.