Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Menurut Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) Datuk Abd Aziz Abu Bakar, kenaikan harga barang akan berlaku apabila terjadinya cukai berganda, di mana margin keuntungan yang akan dikenakan kepada saluran perniagaan seperti pemborong dan peruncit adalah pada nilai harga selepas dikenakan cukai jualan 10 peratus.

“Katakanlah harga sesuatu barang itu RM10. Pengilang akan jual kepada pihak pemborong dengan nilai RM11 disebabkan cukai 10 peratus yang terpaksa ditanggung pengilang. Kemudian pemborong itu pula yang akan meningkatkan harga jualan kepada peruncit (bermula RM11) sehinggalah pengguna yang akhirnya terbeban.

Itulah situasi cukai berganda yang dimaksudkan dan sekali gus harga barang memang akan meningkat naik. Itulah kelemahan SST,” katanya ketika menurut laporan Utusan Online pada 17 Julai lalu.

Huraian Datuk Abdul Aziz mengenai impak SST ke atas harga barang-barang dan perkhidmatan adalah salah.

Kesan GST pada inflasi lebih besar

Pertama sekali, sejarah pelaksanaan GST di Malaysia telah membuktikan bahawa cukai itu menyebabkan kadar inflasi negara meningkat secara mendadak.

Kadar inflasi meningkat sehingga 3.1 peratus apabila GST dilaksanakan pada tahun 2014, berbanding dengan 1.7 peratus dan 2.1 peratus pada 2012 dan 2013.

Pada Jun 2018, kadar inflasi telah turun kepada 0.8 peratus berbanding 1.8 peratus pada bulan Mei 2018.

Ia merupakan kadar inflasi yang paling rendah sejak Februari 2015 dan penurunan kadar inflasi ini jelas disebabkan oleh pemansuhan GST.

SST cukai seperingkat, bukan berperingkat

Dalam contoh yang diberikan oleh Abd Aziz, jumlah kutipan cukai oleh kerajaan adalah hanya RM1 daripada harga jualan produk sebanyak RM10 daripada pengilang kepada pemborong.

Akan tetapi kerajaan tidak lagi selanjutnya mengutip sebarang cukai daripada pemborong, pengedar atau peruncit.

Maksudnya, harga jualan antara pemborong, pengedar dan peruncit dan keuntungan yang dapat diperolehi di setiap peringkat jualan adalah tertakluk kepada kuasa pasaran.

Ini berbanding dengan cukai pelbagai peringkat (multi-stage tax) seperti GST, di mana cukai dikutip di setiap peringkat jualan. Senario di bawah dapat menunjukkan bagaimana kadar 6 peratus GST dapat mengutip lebih cukai daripada kadar 10 peratus SST.

Mengikut contoh sama, pengilang akan mengutip 6 peratus GST daripada RM10 atau RM0.60 daripada pemborong.

Pemborong akan menjual barang tersebut dengan harga RM13 dan mengutip cukai GST sebanyak RM0.78 daripada pihak pengedar. Pada masa sama, pemborong akan menolak RM0.60 daripada nilai GST yang dikutip sebagai “refund” untuk GST yang telah dibayar sebelum itu kepada pengilang.

Pengedar akan menjual barang tersebut dengan harga RM16 dan mengutip cukai GST sebanyak RM0.96 daripada pihak peruncit. Pada masa sama, pengedar akan menolak RM0.78 daripada nilai GST yang dikutip sebagai “refund” untuk GST yang telah dibayar sebelum itu kepada pemborong.

Peruncit akan menjual barang tersebut dengan harga RM20 dan mengutip cukai GST sebanyak RM1.20 daripada pihak pengguna. Pada masa sama, peruncit akan menolak RM0.96 daripada nilai GST yang dikutip sebagai “refund” untuk GST yang telah dibayar sebelum itu kepada pengedar.

Kesimpulannya, jumlah GST yang telah dikutip oleh kerajaan adalah RM0.60 + RM0.18 + RM0.18 + RM0.24 ataupun sejumlah RM1.20 daripada pengilang, pemborong, pengedar dan peruncit. Contoh ini dirumuskan dalam Jadual di bawah:

Jumlah cukai yang dikutip daripada cukai berperingkat GST 6 peratus sebanyak RM1.20 adalah lebih besar daripada nilai RM1.00 yang dikutip daripada cukai seperingkat SST 10 peratus sebanyak RM1.00.

Contoh di atas juga menunjukkan bahawa GST merupakan satu sistem cukai yang lebih rumit, susah difahami dan lebih membebankan semua pihak dari segi pelaksanaan dan pengurusan, berbanding dengan cukai seperingkat SST.

Kutipan SST lebih rendah dari GST

Sebelum kadar GST disifarkan pada 1 Jun 2018, anggaran kutipan GST bagi tahun 2018 adalah RM44 bilion berdasarkan sasaran kerajaan terdahulu. Akan tetapi, cukai SST dianggarkan hanya akan mengutip cukai sekitar RM21 bilion setahun.

Oleh itu, jika dibandingkan dengan hasil kutipan GST, kerajaan akan dapat ‘memulangkan semula’ RM23 bilion kepada rakyat. Sebagai presiden MATA, Adb Aziz tidak seharusnya mengelirukan rakyat dengan kenyataan bahawa kos sara hidup akan lebih membebankan jika SST dikembalikan.


TONY PUA ialah setiausaha publisiti kebangsaan DAP dan anggota parlimen Damansara.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS