Banjir di pantai timur makin buruk
Banjir di pantai timur semakin buruk. Sehingga pukul 8 pagi tadi 1,680 orang dipindahkan ke tempat selamat setelah kampung dan rumah mereka dinaiki air.
Seorang kanak-kanak menjadi korban pertama apabila mati lemas petang semalam.
Banjir di pantai timur semakin buruk. Sehingga pukul 8 pagi tadi 1,680 orang dipindahkan ke tempat selamat setelah kampung dan rumah mereka dinaiki air.
Seorang kanak-kanak menjadi korban pertama apabila mati lemas petang semalam.
Keadaan di Terengganu paling teruk di mana 1,276 orang dipindahkan, 116 orang di Kelantan dan 288 mangsa di Pahang.
Jumlag mangsa banjir yang dipindahkan di Terengganu meningkat kepada 1,276 orang pada pagi tadi berbanding 426 orang petang semalam.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Farid Mahmud berkata tiga daerah lagi mengalami banjir menjadikan semuanya lima setakat ini.
Tiga daerah itu ialah Besut, Setiu dan Hulu Terengganu di samping Kemaman dan Dungun yang mengalami banjir mulai semalam.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, di Besut jumlah mangsa dipindahkan ialah 61 orang, Setiu 355 orang, Hulu Terengganu 18 orang, Dungun 169 orang dan Kemaman paling ramai iaitu 673 orang.
Farid berkata seorang kanak-kanak Tengku Fakruzi Tengku Tiji Izham, 3, dari Kampung Delong Dungun menjadi korban banjir pertama di negeri ini bila ia dijumpai mati lemas pukul 2.40 petang semalam.
Beliau berkata dua jalan utama yang ditutup kepada kenderaan semalam - jalan Jerangau-Jabor dekat Dungun dan Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Km 90 Paka, dibuka semula kepada semua kenderaan pagi ini.
Namun, katanya beberapa batang jalan di pedalaman Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Marang masih dinaiki air dan ditutup kepada semua kenderaan.
Farid berkata air sungai di tujuh tempat menyukat banjir negeri itu kini berada di atas paras bahaya dan orang ramai yang tinggal di kawasan rendah dinasihatkan segera berpindah.
Paras air di Ampangan Jajar di Besut mencecah 16 meter (bahaya 14.7 meter), Kampung Langkap di Setiu 22.4 meter (bahaya 21.5 meter), Pengkalan Ajal di Hulu Terengganu 16.42 meter (bahaya 16 meter), Kuala Jengai di Dungun 21.2 meter (bahaya 19.8 meter).
Jambatan Jerangau di Dungun 12.5 meter (bahaya 12.5 meter), Rumah Pam Paya Dadong di Kemaman 13.42 meter (bahaya 12 meter), dan Rumah Pam Paya Putih di Kemaman 4.24 meter (bahaya 3.2 meter).
Paras waspada
Di Kelantan, 21 keluarga di daerah Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang, dipindahkan sejak Rabu malam.
Jurucakap bilik gerakan banjir Kelantan berkata, setakat pukul 10 pagi, paras air di beberapa batang sungai menurun sedikit tetapi masih melebihi paras waspada.
Sungai Golok di Rantau Panjang kini melebihi paras bahaya dengan catatan 9.78m. Sungai Galas, Dabong mencatat 34.52 meter melebihi paras waspada 32 meter tetapi di bawah paras bahaya 38 meter dan Sungai Lebir di Tualang kini mencatat 32.54m (waspada 32/bahaya 38m). Sungai Kelantan di Kuala Krai naik kepada 24.76m (waspada 20m/bahaya 25 m).
Hanya Sungai Semerak di Pasir Puteh mencatat 1.08m di bawah paras waspada.
Di Pahang, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, ASP Zulkifli Mohd berkata, semua mangsa banjir daerah itu ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Cenderawasih seramai 68 orang, Sekolah Kebangsaan Sungai Isap (31), Dewan Orang Ramai PAKR Panching (20), Dewan Perumahan Kolek Panching (11), Sekolah Kebangsaan Cherating (101) dan Sekolah Kebangsaan Sungai Karang (26).
"Keseluruhan keluarga yang terlibat dengan pemindahan ialah sebanyak 51," katanya.
Daerah Jerantut mencatatkan 31 mangsa dari 14 keluarga di Kampung Bantal.
Sementara itu, dua mangsa - seorang lelaki dewasa berumur 37 dan seorang kanak-kanak 12 tahun dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

