Terjemahan Jumlah jualan kenderaan di Malaysia meningkat 29.1 peratus dalam bulan Oktober untuk mencapai rekod jualan tertinggi 56,696 unit, demikian menurut laporan media hari ini.

Pertumbuhan jualan bagi bulan Oktober yang meningkat 12.5 peratus daripada bulan September, didorong oleh kadar faedah yang rendah serta permintaan mendadak bagi kereta baru menjelang perayaan pada awal November, lapor New Straits Times.

Dalam bulan Oktober, jualan kereta buatan Malaysia berkembang 30.3 peratus kepada 39,442 manakala jualan kereta import naik 26.4 peratus kepada 17,254, berbanding pertumbuhan 36.2 peratus pada bulan September, lapor akhbar The Star.

Bagi tempoh bulan Januari hingga Oktober, jumlah jualan kenderaan naik 14.4 peratus, berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu, kata laporan tersebut, yang memetik angka yang dikeluarkan oleh Persatuan Automatif Malaysia(MAA).

Dasar baru

Malaysia, yang merupakan antara pasaran terbesar bagi kenderaan penumpang, telah mengurangkan cukai import dan eksais antara lima hingga 50 peratus bagi kenderaan buatan Asean, serta negara-negara lain, di bawah dasar baru yang diumumkan bulan lalu.

Dasar baru adalah sebahagian daripada usahanya untuk menjadi hub pengeluaran dan pemasangan kenderaan serantau, yang juga mensasarkan pertumbuhan bagi sektor automobilnya yang semakin lemah, serta meningkatkan lagi dayasaing bagi syarikat pembuat kereta nasional Proton dan Perodua.

Sebelum ini, Proton menjual enam bagi setiap 10 kereta baru di Malaysia, tetapi persaingan hebat daripada kereta import telah menjejaskan penguasaan pasarannya, yang merosot kepada 44 peratus pada 2004. Berita asal