Paling Popular
Terkini

Calon PKR bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yakin anggota PAS akan mengundinya pada 4 Ogos ini.

Mohd Zawawi berkata keyakinan itu lahir ekoran kehendak anggota parti Islam itu sendiri yang mahukan pemimpin yang mempunyai latar belakang pendidikan Islam.

“Saya yakin pengundi PAS yang 7,000 itu akan mengundi saya.

“Kerana saya tahu bahawa mereka inginkan pemimpin yang pemikirannya Islam dan mempunyai sahsiah yang baik untuk menjadi ketua mereka,” katanya dalam sidang media Bilik Gerakan Utama, Bukit Kemuning, hari ini.

Dikenali sebagai individu yang berlatar belakang agama, bekas Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor ini juga pernah diamanahkan selaku Timbalan Majlis Perundingan Kebangsaan ABIM (MPKA) dan Setiausaha Integrated Muslim Association Nework (IMAN).

Selain merupakan Ahli Jawatankuasa Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Selangor, Zawawi juga merupakan Pengetua Maahad Tahfiz al-Fateh, Jalan Kebun.

Beliau dan isterinya mengasaskan Rumah Perlindungan dan Pemulihan Wanita Darul Wardah, Seksyen 30, Shah Alam.

Graduan Sarjana Muda Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar, Mesir dan Master Pendidikan di Universiti Malaya (UM) ini juga pernah berkhidmat selaku Ahli Mesyuarat Badan Dakwah, Majlis Agama Islam Selangor (2006 – 2012) dan Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Keluarga Islam, MAIS (2009 – 2012).

Beliau pernah bertugas sebagai guru di beberapa buah sekolah dan institusi seperti Kolej Hafiz Klang, SAM Hishamuddin Sungai Bertih.

Terserah pada BN, PAS untuk bergabung

Sementara itu mengulas langkah BN untuk kerjasama dengan PAS bagi mendekati pengundi Melayu, Mohd Zawawi berkata ia terserah kepada parti terbabit.

“Terserah kepada mereka untuk bergabung atau tidak, kerana itu hak mereka,” katanya ringkas.

Semalam, calon BN Lokman Noor Adam dilaporkan mahu mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PAS di kawasan berkenaan sebagai salah satu usaha mengajak parti itu bersama-sama BN mendekati pengundi Melayu.

Beliau berkata, perjumpaan itu berkemungkinan akan dilakukan pada minggu ini.

Bagaimanapun dalam reaksi balas PAS, naib presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata parti itu tidak membuat sebarang perbincangan mahupun perancangan termasuk dalam soal membantu calon BN selaku pembangkang.

PRK DUN Sungai Kandis ditetapkan pada 4 Ogos ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

PRK itu akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Zawawi, Lokman dan seorang calon Bebas, K. Murthy.

Lihat Komen
ADS