Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zaid guna bukti laporan audit untuk rayuan saman Najib

Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim akan menggunakan bukti dalam laporan audit 1MDB yang tidak lagi berstatus rahsia untuk menghidupkan semula saman terhadap Datuk Seri Najib Razak, anak tirinya Riza Aziz, 1MDB dan kerajaan.

Peguam Americk Singh Sidhu ketika dihubungi hari ini berkata, laporan audit 1MDB akan digunakan apabila rayuan Zaid didengar di Mahkamah Rayuan.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib dan tiga pihak lain itu untuk membatalkan saman Zaid pada 23 November 2017.

Hari ini merupakan pengurusan kes yang dikendalikan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan, Aina Azahra Arifin.

Pengurusan kes seterusnya pada 9 Ogos ini.

Pada 17 Ogos 2016, Zaid memfailkan saman itu untuk mendapatkan kembali wang RM2.6 bilion dan RM42 juta berkaitan 1MDB yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Najib.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rohani Ismail kemudian membatalkan saman itu atas sebab ia tidak mendedahkan satu kausa tindakan yang munasabah, mengaibkan, remeh dan menyusahkan serta penyalahgunaan proses mahkamah.

Ketika itu, laporan audit 1MBD masih lagi dikelaskan sebagai dokumen rahsia.

Status itu kemudian ditukar selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) membentuk kerajaan selepas menang PRU ke-14.

Lihat Komen
ADS