Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah: 14 Sept Pengurusan kes rayuan saman presiden PKR

Mahkamah Rayuan menetapkan 14 September ini untuk pengurusan kes rayuan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan ismail dan dua yang lain terhadap arahan membayar ganti rugi RM2 juta kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekututuan (Felda) dan syarikat pelaburannya kerana memfitnah.

Timbalan Pendaftar, Aina Azhara Ariffin menetapkan tarikh tersebut hari ini untuk Felda menyatakan pendirian sama ada menyetujui atau mencabar rayuan tersebut.

Peguam Nor Emelia Mohd Iszeham, yang mewakili Felda dan anak syarikat, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH), berkata kepada pemberita bahawa beliau telah mengulangi pendirian FGVH untuk menyetujui rayuan itu kepada timbalan pendaftar mahkamah.

Menurutnya, pendirian FGVH itu telah dimaklumkan sebelum ini semasa pengurusan kes tersebut pada 2 Julai lalu.

Pada 16 Ogos 2010, Felda dan anak syarikatnya itu memfailkan saman terhadap dua artikel bertajuk 'Felda Bankrap’ dan 'Bina Bangunan RM622 juta Hanya Libatkan Tiga Individu’ dalam edisi Suara Keadilan, lidah rasmi PKR, bertarikh 22 dan 29 Jun 2010.

Mahkamah Tinggi: Ganti rugi RM2 juta

Felda dan FGVH mendakwa kedua-dua artikel itu memfitnahnya dan menuntut antaranya ganti rugi am, keterlaluan dan teladan serta permohonan maaf bertulis untuk diterbitkan dalam akhbar dan majalah.

Pada 13 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Dr Wan Azizah, yang kini timbalan perdana menteri, bekas naib presiden PKR, Dr Syed Husin Ali dan penulis artikel Rusnizam Mahat, membayar ganti rugi RM70,000 kepada Felda dan FGVH.

Pada 5 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan ketiga-tiga defendan itu membayar ganti rugi RM2 juta selepas membenarkan rayuan Felda dan FGVH terhadap keputusan tersebut.

Sebelum itu, pada 30 September 2014, bekas editor Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib, yang sebelum ini dinamakan defendan, memohon maaf kepada Felda and FGV.

Sementara itu, peguam Francis Pereira, yang mewakili Dr Wan Azizah, Syed Husin dan Rusnizam, memberitahu media bahawa Felda belum lagi mempuyai sebarang petunjuk sama ada mereka mahu meneruskan atau tidak dengan rayuan itu.

Beliau berkata anak guamnya merayu terhadap kuantum sebanyak RM2 juta dan mahu mahkamah mengekalkan jumlah asal ganti rugi RM70,000 yang diputuskan sebelum ini.

Katanya, anak guamnya telah membayar ganti rugi RM70,000 tersebut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS