Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ismail Sabri: Umno, PAS setuju anjur program bersama di Sg Kandis

PRK SG KANDIS | Datuk Seri Ismail sabri Yaakob mendakwa Umno dan PAS sudah sepakat untuk mengadakan satu program bersama sempena kempen PRK itu.

Beliau yang baru menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor menyatakan harapannya agar program itu nanti akan mempertemukan dua parti itu di pentas yang sama, walaupun tidak dianjurkan secara rasmi atas nama parti.

"Tadi saya sudah berbincang dengan seorang pemimpin PAS dan dia setuju," dakwanya.

"Sebagai contoh, (boleh diadakan) forum perdana Islam yang menampilkan Syamsul Debat yang mewakili Umno dan Ustaz Azhar Idrus yang mewakili PAS.

"Kita mahu tunjukkan ada kerjasama antara Umno dan PAS. Kalau boleh, mungkin kita letakkan setiausaha agung Umno dan PAS pada malam terakhir (kempen)," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pengenalan calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan Penyerahan Anak Angkat Bahagian Negeri Selangor di Kampung Sungai Kandis, malam ini.

Untuk rekod, PAS setakat ini belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi yang jelas menunjukkan parti itu akan berpihak kepada mana-mana parti pada PRK kali ini.

Setiausaha agungnya Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata ketiadaan calon PAS bukanlah bermakna mereka akan bekerjasama dengan Umno.

Beliau juga hanya menggesa anggota parti di DUN itu agar membuat pilihan "berpandukan pertimbangan yang wajar demi kepentingan Islam-Melayu".

Bagaimanapun dua pemimpin parti itu - Ketua Penerangan Nasrudin Hassan dan Anggota Perhubungan Selangor Ahmad Dusuki Abd Rani - menggesa anggota parti menolak calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata Tun Dr Mahathir tidak perlu masuk campur dalam soal hubungan PAS dan Umno.

Ia susulan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan langkah PAS untuk tidak meletakkan calon kerana kedua-dua parti itu adalah "adik-beradik".

"Ini adalah urusan pembangkang," katanya.

Turut hadir dalam program itu adalah Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan.

Lihat Komen
ADS