Aktres Zahida Rafique yang mendakwa hilang lebih RM200,000 kepada bekas pemandunya bukanlah seorang saksi yang boleh dipercayai, kata bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram.

Sri Ram berkata demikian ketika berhujah di hadapan lima hakim Mahkamah Persekutuan. Beliau mewakili bekas pemandu Noor Azman Azemi yang merayu keputusan Mahkamah Rayuan di mana beliau diperintahkan membayar RM200,000 atas kerugian itu.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu berpendapat bahawa Zahida bukan saksi yang boleh dipercayai apabila dia mendakwa kehilangan RM200,000.

"Mahkamah mendapati bahawa dia akan memilih butiran apa-apa yang dia mahu pilih apabila tiada bukti (mengenai kehilangan wang itu).

"Invois yang dihasilkan (untuk menunjukkan kewujudan wang itu) jelas merupakan dokumen yang direka," kata Sri Ram.

'Keistimewaan mutlak laporan polis'

Peguam kanan berkata ketika Zahida membuat laporan polis atas kehilangan yang wang yang dikatakannya itu dan mendakwa dihubungi oleh pemberita selepas membuat laporan itu, dia sebenarnya mempunyai satu pilihan lain dan bukannya mengumumkan perkara itu.

"Tidak mengumumkan perkara itu boleh saja menjadi pilihan dan tiada alasan mengapa pembuat laporan polis boleh bebas daripada pertanggungjawaban dengan cara fitnah untuk menerbitkan kandungan laporan itu kepada dunia secara keseluruhan.

"Keistimewaan mutlak hanya perlu diperluaskan kepada pernyataan yang serupa dengan laporan polis dan bukan kepada penyiaran semula kenyataan yang terkandung di dalam laporan polis," katanya.

Selanjutnya, peguam kanan itu mengatakan bahawa bagi ahli politik untuk mengatakan sesuatu di Dewan Rakyat, mereka dilindungi oleh keistimewaan mutlak tetapi di luar parlimen jika mereka memfitnah seseorang maka tindakan dapat diambil terhadap mereka.

Menurut Sri Ram hal ini adalah sama dengan laporan polis yang mana mereka boleh membuat laporan yang dilindungi oleh keistimewaan mutlak tetapi jika mereka mengatakannya kepada orang lain dan dilaporkan, maka tindakan boleh diambil.

Noor Azman memfailkan saman fitnah terhadap Zahida kerana membuat tuntutan mengenai kerugian berikutan penerbitan laporan itu di Harian Metro pada 3 Mac 2012, sehari selepas insiden yang dikatakan itu terjadi.

Pelakon itu memfailkan tuntutan balas tetapi Mahkamah Tinggi menolak tuntutannya dan memerintahkannya membayar RM150,000 kepada Noor Azman.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan mengarahkan Noor Azman membayar RM200,000.

Mahkamah membenarkan Noor Azman membuat penangguhan atas keputusan itu pada hujung tahun lalu berdasarkan satu soalan undang-undang jika penerbitan kandungan sesuatu laporan polis oleh pembuatnya kepada orang awam dilindungi oleh hak keistimewaan mutlak.

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Zahida dalam serahannya kepada mahkamah berkata justifikasi pembelaannya sudah lengkap jika ia berjaya.

Beliau berkata memandangkan Mahkamah Persekutuan tidak memberi kebenaran merayu kepada soalan kedua yang ditimbulkan oleh peguam Noor Azman, maka ia menunjukkan bahawa Zahida telah membuktikan kes itu berdasarkan imbangan kebarangkalian terhadap kebenaran kenyataan dalam laporan polisnya bahawa Noor Azman telah melarikan diri dengan wang RM243, 000 yang diamanahkan Zahida kepadanya.

"Saman fitnah Noor Azman tidak akan berjaya dan tidak mungkin dia dapat mempertahankan tuntutan balas Zahida. Oleh itu, rayuan ini adalah akademik," katanya.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Ma'arop mengetuai barisan hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang, Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Alizatul Khair Othman, Datuk Rohana Yusof dan Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh dalam kes ini.

[Baca berita asal]