Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mesyuarat kabinet kerajaan bagi minggu ini tetap akan diadakan esok, walaupun sebelum ini telah diputuskan bahawa ia diubah ke hari Jumaat ketika persidangan Dewan Rakyat berlangsung.

Perkara itu disahkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub yang menerima makluman petang tadi mengenai mesyuarat itu yang akan diadakan di Putrajaya.

“Kita sudah putuskan minggu depan mesyuarat kabinet akan diadakan Jumaat, tapi petang tadi dapat arahan esok masih lagi di Putrajaya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan mesyuarat itu tidak dapat diubah kepada hari Jumaat minggu ini termasuk keperluan untuk meneliti dokumen-dokumen tertentu esok.

Sebelum ini, kerajaan membuat keputusan bahawa mesyuarat mingguan kabinet yang kebiasaannya diadakan pada hari Rabu diubah ke hari Jumaat ketika mesyuarat Dewan Rakyat sedang bersidang.

Ia susulan kritikan pembangkang mengenai ketiadaan menteri dan timbalan menteri di dalam dewan ketika sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong sedang berlangsung, minggu lepas.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata kerajaan akan menentukan sama ada timbalan menteri perlu menghadiri mesyuarat Dewan Rakyat esok, ketika menteri menghadiri mesyuarat kabinet yang bermula pukul 2.30 petang hingga 5 petang.

Beliau berkata tidak timbul isu mengenai ketidakhadiran menteri ketika persidangan Dewan Rakyat jika menghadiri mesyuarat kabinet, kerana kedua-duanya berkaitan dengan soal pentadbiran negara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS