Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan akan wujudkan kawalan bagi perkhidmatan doula

Kementerian Kesihatan akan mewujudkan pengawalan dan peraturan bagi perkhidmatan doula atau peneman bersalin.

Menterinya Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia bagi mengelakkan sebarang kemudaratan berlaku kepada ibu bersalin dan juga anak yang dilahirkan.

"Kami telah memerhati perkara ini dan saya sudah bangkitkan di mesyuarat kabinet...Agar dapat wujudkan satu bentuk pengawalan (regulation).

"Kita bukan menghalang (mereka yang seperti) bidan kampung yang satu masa dulu adalah tradisi, tetapi kami mahu pastikan kemudaratan dapat dielakkan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Perkhidmatan doula yang menjadi pilihan buat sesetengah ibu untuk melahirkan anak - berbanding ke hospital - menjadi perhatian selepas kes kematian bayi yang dilahirkan menggunakan khidmat itu, awal tahun ini.

Minggu lalu, NGO Medical Mythbusters Malaysia menerusi Facebooknya menggesa kementerian agar mewujudkan satu bentuk pengawalan bagi memantau perkhidmatan itu yang biasanya ditawarkan oleh mereka yang tidak mempunyai latihan perubatan.

Pada Februari lalu, NGO itu menulis surat terbuka kepada sultan dan permaisuri Johor untuk membantu mereka memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung perkara itu yang menurut mereka sangat berisiko.

Dzulkefly juga berharap perkara itu dapat dibendung bagi mengelakkan ancaman terhadap ibu dan anak yang dikandungnya.

"Kementerian kesihatan mahu memastikan tiada mudarat terhadap kebajikan, keselamatan dan kesihatan mereka kerana kita tak tahu kemungkinan yang akan berlaku," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS