Paling Popular
Terkini

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan beliau pernah menawarkan jawatan dalam parti kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar namun ia ditolak.

Malah, kata Zahid, beliau menawarkan tiga jawatan kepada bekas ketua pemuda Umno itu namun ditolak.

"(Tawaran) pertama semasa pemilihan parti, saya beri dia peluang untuk bertanding sebagai timbalan presiden kerana (Datuk Seri) Hishammuddin (Hussein) menarik diri daripada bertanding, tetapi dia (Khairy) ingin bertanding naib presiden.

"Tetapi akhirnya dia bertanding jawatan presiden. Jadi saya dah tawarkan dia. Selepas dia kalah, saya tawarkan dia setiausaha agung BN tetapi dia menolak.

"Dan sebelum pengumuman anggota yang baru, untuk kali ketiga pula saya tawarkan dia sebagai ketua penerangan tetapi dia tolak juga," kata Zahid di lobi parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita sama ada Zahid ada menawarkan sebarang jawatan kepada Khairy.

Sementara itu, ditanya sama ada anggota parlimen Rembau berkenaan ada memberi sebarang sebab berhubung penolakan tersebut, Zahid berkata Khairy mungkin mempunyai caranya yang tersendiri untuk melakukan perubahan terhadap Umno.

"Saya rasa mungkin dia ada rancangan dia yang tersendiri untuk membantu Umno dalam menghidupkan semula Umno sebagai sebuah parti politik dan memainkan peranan yang membina sebagai pembangkang," katanya lagi.

Ketika ini, Khairy yang juga bekas menteri belia dan sukan tidak memegang sebarang jawatan dalam parti selain menjadi anggota parlimen.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika mengulas mengenai pertemuan bersama Tengku Razaleigh Hamzah semalam, Zahid berkata pertemuan itu bagi membincangkan peranan yang bakal dimainkan oleh anggota parlimen Gua Musang berkenaan.

"Saya adakan perbincangan secara keluarga dengan Tengku Razaleigh kerana beliau seorang yang demokrat dan sangat positif biar pun memperoleh undi yang kurang (dalam pemilihan).

"Saya mempunyai tanggapan pemenang tidak boleh mengambil semuanya. Jadi saya harus runding beberapa perkara dengan beliau tentang apakah peranan yang efektif yang boleh dimainkan beliau untuk terjemahkan kebangkitan semula Umno," kata Zahid.

Ditanya apakah peranan yang ditawar kepada Tengku Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li, Zahid hanya berkata: "Itu saya dah bincangkan dengan beliau dan beliau akan buat keputusan kelak.".

Lihat Komen
ADS