Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'20% royalti berdasarkan keuntungan langgar janji manifesto'
Diterbitkan:  Jul 26, 2018 11:48 AM
Dikemaskini: 4:05 AM

Anggota Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi berkata jawapan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai pemberian royalti minyak bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN).

Beliau merujuk jawapan Azmin pada sesi soal jawab lisan di parlimen semalam yang menyatakan 20 peratus royalti akan diberikan berasaskan keuntungan dan bukan berdasarkan pengeluaran hasil seperti difahami sebelum ini.

"Kenyataan ini sesungguhnya amat mendukacitakan rakyat di negeri-negeri pengeluar petroleum kerana ia bertentangan dengan janji manifesto HARAPAN pada pilihan raya yang lalu," kata Che Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, manifesto pilihan HARAPAN pada PRU lalu menyatakan: "Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak, serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain, kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil"

"Jelas dalam kenyataan manifesto di atas merujuk kepada hasil petroleum, bukannya keuntungan," jelas Che Abdullah.

Katanya, perkara itu juga dinyatakan dalam fasal 1 Perjanjian Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petroliam Nasional Berhad pada 9 Mei 1975.

"Malah, jawapan perdana menteri merujuk kepada penyata rasmi parlimen bertarikh 12 November 1975 juga menjelaskan bahawa royalti dibayar berdasarkan "nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi di negeri-negeri masing-masing"," tambah beliau.

Katanya, berdasarkan justifikasi yang dinyatakan, royalti adalah pembayaran wang tunai berdasarkan kepada pengeluaran (gross production).

"Ini juga konsisten dengan maksud asal royalti itu sendiri, berbeza dengan nama dividen dan sebagainya.

"Namun, pendirian kerajaan selepas memenangi pilihan raya adalah berbeza dari manifestonya. Sekali lagi rakyat tertipu," kata Che Abdullah.

Semalam, Azmin mengakui kerajaan pusat tidak dapat menyegerakan penyaluran 20 peratus royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar bahan api itu dan perlu menunggu Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipinda.

Menurut Azmin, pemberian royalti minyak 20 peratus itu juga akan dibuat berdasarkan keuntungan diperolehi Petronas dan bukan pengeluaran.

“Cadangan tambah royalti petroleum kepada 20 peratus ini adalah berdasarkan keuntungan Petronas selepas cukai dan bukan jumlah hasil pengeluaran kasar," katanya.

Lihat Komen
ADS