Wakil PAS desak Petronas bentang penyata kewangan di Parlimen
Ahli Parlimen Pendang, Dr. Mohd Hayati Othman mendesak Petronas membentangkan urusniaga dan penyata kewangannya kepada Parlimen supaya orang tahu apa kegiatan yang dijalankanya.
Beliau berkata, apa yang berlaku sekarang ialah ahli Parlimen sendiri tidak tahu apa yang berlaku dalam Petronas sedangkan Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi negara sepatutnya diberitahu tentang hal ehwal syarikat minyak itu.
"Saya bertanyakan soalan ini dalam soal jawab di Parlimen baru-baru ini tetapi tidak ada menteri yang memberikan jawaban.
"Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Mohamed, menteri yang paling layak bercakap mengenai Petronas juga membisu," katanya ketika ditemui di Parlimen baru-baru in.i
Beliau berkata, jika keadaan ini berterusan, ini bermakna sampai bila-bilapun operasi Petronas akan menjadi satu misteri atau tanda tanya yang besar.
"Berapakah aset Petronas? Di manakah mereka melabur, apa yang dibuat di luar negeri, apa yang dibelanjakannya? Orang ramai tidak tahu kerana Petronas tidak mendedahkannya," tekannya.
Sebagai contoh, kata Dr. Hayati, orang Islam negara ini tidak tahu bahawa Petronas yang untung RM38 bilion tahun lalu itu tidak membayar zakat.
Katanya, keengganan Petronas dan anak-anak syarikatnya membayar zakat adalah tindakan tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.
"Tindakan Petronas itu amat memalukan kerana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain membayar zakat setiap tahun," katanya.
Katanya, anak syarikat Tabung Haji yang keuntungannya tidak sebanyak Petronas boleh membayar zakat, mengapa syarikat minyak nasional itu tidak berbuat demikian.
"Saya merasakan kerajaan perlu bertegas dalam hal ini kerana zakat adalah untuk pembangunan ekonomi umat Islam keseluruhannya.
"Bayangkan berapa banyak projek yang boleh kerajaan usahakan untuk pembangunan umat Islam dengan menggunakan wang zakat Petronas itu," katanya.
Baru-baru ini, Mustapha mendedahkan di Parlimen bahawa Petronas tidak membayar zakat kepada kerajaan kerana masih menunggu Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, sehingga ini majlis fatwa belum mengeluarkan sebarang fatwa mengenai perkara tersebut.

