Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Arahan PAS untuk dorong ahli undi Umno, kuatkan pembangkang'

SG KANDIS | Anggota Jawatankuasa PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz memberitahu, ahli parti itu di Sungai Kandis perlu mengundi Umno bagi memastikan pembangkang kuat di Selangor.

Katanya, meskipun arahan dari pihak atasan menyatakan ahli parti itu bebas memilih sesiapa sahaja, namun menurut pemahamannya pimpinan PAS mahu penyokongnya mengundi Umno.

"PAS tak mewajibkan ahlinya mengundi mana-mana parti bahkan memberi kebebasan. Cuma apabila ada arahan nyata bahawa undi bukan Pakatan Harapan, maka ada dua, (calon) bebas dan Umno.

"Secara jujur saya memahami arahan parti adalah mendorong ahli PAS, penyokong PAS undi Umno dan ia perlu antaranya untuk memastikan DUN Selangor ditambah kekuatan pembangkangnya supaya lebih kuat," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

​Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung tulisan di Facebooknya semalam yang meminta agar ahli PAS mengundi Umno pada pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis.


Baca: PAS tak tanding PRK Sg Kandis bagi mudahkan HARAPAN ditewaskan


Sementara itu, pada sidang media, ketika diajukan soalan berhubung saranan itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata anggota parlimen Bachok itu bukan pengundi Sungai Kandis.

"Nik Abduh tak mengundi sana," katanya ringkas.

Namun ketika ditemui selepas sidang media pula, Tuan Ibrahim berpendapat ada keperluan anggota PAS untuk mengundi Umno dalam konteks pembangkang di Selangor.

Menurutnya, ia bertujuan bagi mengimbangi suara demokrasi iaitu suara pembangkang di dalam DUN.

"Dalam konteks kita pembangkang di Selangor kita tidak terjejas dengan PRK ini, majoriti masih kekal. Apa yang perlu adalah mengimbangi suara demokrasi, suara pembangkang perlu kuat bagi mengimbangi kerajaan negeri.

"Semak dan imbang kepada sistem yang ada. Seimbangkan ini penting," kata Tuan Ibrahim.

Lihat Komen
ADS