Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan negeri Kelantan menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai kelayakan menyertai perkhidmatan awam di Malaysia agar kedaulatan bahasa dan bangsa Melayu kekal terpelihara.

Menteri besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, semua pihak perlu berhati-hati dalam isu berkenaan.

"Kelantan tolak UEC.

"Pihak tertentu bagus memberi pandangan seperti ini (menolak UEC) sebelum ia berlaku.

"Semoga kedaulatan bahasa Melayu dan bangsa Melayu dikekalkan memandangkan UEC dilihat sesuatu yang mudah untuk orang bukan Melayu berada dalam penjawatan awam tanpa memiliki kemahiran dan kebudayaan bahasa Melayu yang baik," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Infaq: Asnaf dan Anak Yatim di Kota Bharu, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang tidak bersetuju Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf supaya Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak dirosakkan.

Harussani dilaporkan tidak bersetuju dengan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang mahu iktiraf UEC memandangkan dasar pendidikan sedia ada sudah terbukti mampu memacu pembangunan negara ke arah kebaikan berasaskan perpaduan kaum dan pembinaan negara bangsa.

Perak sedia iktiraf UEC

UEC dikeluarkan oleh sekolah persendirian Cina yang sukatan pelajarannya didakwa sesetengah pihak tidak selari dengan yang dikeluarkan oleh kementerian pendidikan.

Ahad lalu, media melaporkan Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri Perak sedia mengiktiraf UEC sebagai kelayakan menyertai perkhidmatan awam dengan syarat pemohon mendapat taraf kepujian dalam Bahasa Melayu.

Menurutnya, perkara itu selaras janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Pada 2 Julai lalu, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata pengambilan lulusan UEC akan dilaksanakan sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri Melaka.

Dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14), BN turut mengiktiraf sijil UEC untuk memasuki universiti tempatan dengan syarat mereka mendapat kepujian bagi subjek Bahasa Malaysia dan lulus Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Lihat Komen
ADS