Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib sangkal Dr M: Khazanah bukan untuk perkasa bumiputera

PARLIMEN | Datuk Seri Najib Razak menyangkal kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Khazanah Nasional Berhad sudah menyimpang daripada terasnya iaitu membantu bumiputera.

Bekas perdana menteri itu berkata, syarikat pelaburan negara itu sebaliknya diwujudkan untuk menambah kekayaan kepada negara.

"Khazanah bukan diwujudkan untuk membantu (golongan) bumiputera. (Ia) tidak seperti TERAJU (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) dan PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad) yang bertujuan mengembangkan usahawan bumiputera.

"Khazanah adalah sebuah institusi untuk mewujudkan kekayaan kepada negara. Ia lebih (mirip) seperti TEMASEK (syarikat pelaburan milik kerajaan Singapura) yang diwujudkan untuk menghasilkan bakat," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Khazanah hari ini mengesahkan ahli lembaga pengarahnya telah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan.

"Ini dilakukan untuk memudahkan peralihan yang lancar dan teratur di bawah kerajaan baru," kata Khazanah dalam kenyataan.

Tindakan itu beberapa minggu selepas Mahathir berkata kerajaan akan meneliti pegangan saham oleh Khazanah dan menyusunnya mengikut keuntungan bagi mengembalikan tujuan asal syarikat pelaburan itu iaitu membantu bumiputera.

Lihat Komen
ADS