Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MCA: Kenapa kenyataan Maszlee dalam bahasa Cina sahaja?

Kenapa “kenyataan media” Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hanya dalam Bahasa Cina? Bukankah bahasa kebangsaan perlu dimartabatkan?

Menurut rakan-rakan media, menteri pendidikan hanya mengeluarkan kenyataan media yang menyentuh isu “peruntukan kerajaan untuk sekolan persendirian Cina” dalam Bahasa Cina sahaja, sebagai tambahan kepada jawapan bertulis pertanyaan lisan saya di Dewan Rakyat. Keadaan ini sangat menakjubkan!


BACA : Kini Maszlee kata SMPC boleh dapat peruntukan


Sebagai seorang menteri, Maszlee tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan media berbahasa Cina sahaja memandangkan ianya bersangkut-paut dengan urusan parlimen.

Kenapa perlu berbuat demikian? Ini adalah perkara serius yang merupakan penjelasan kepada jawapan asal di parlimen di mana penjelasannya membawa maksud yang bercanggah dengan jawapan asal yang dibentangkan.

Bahasa Malaysia bahasa rasmi

Tindakan sebegini tidak selaras dengan polisi untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, malahan ianya juga disifatkan sebagai tidak menghormati bahasa Malaysia yang merupakan bahasa rasmi kerajaan.

Yang peliknya kenapa menteri pendidikan tidak berani membuat kenyataan rasmi dalam Bahasa Malaysia atau memperbetulkan jawapan di parlimen melalui kaedah terbaik iaitu mengemukakan Pernyataan Menteri “Minister’s Statement” dalam bahasa Malaysia di Dewan Rakyat?

Maszlee harus faham bahawa Sekolah Persendirian Cina tidak terhad kepada pelajar kaum Cina sahaja. Ini menunjukkan beliau berfikiran sempit perkauman.

Selain itu, sebagai menteri pendidikan, beliau sepatutnya mengamalkan sikap terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan tidak mengamalkan favouritism dalam menangani isu-isu pendidikan.

Sehubungan itu, tindakan Maszlee yang hanya mengeluarkan kenyataan media dalam bahasa Cina berhubung isu “peruntukan kerajaan untuk sekolan persendirian Cina” juga amat mencurigakan, memandangkan kandungan kenyataan media tersebut adalah jawapan tambahan kepada pertanyaan lisan saya di Dewan Rakyat.

Pencerahan rakyat berbilang kaum

Maka, sewajarnya beliau mengeluarkan kenyataan tersebut dalam bahasa Malaysia supaya ia turut dapat memberi pencerahan kepada semua rakyat berbilang kaum.

Pendek kata, Maszlee tidak patut mengeluarkan kenyataan yang sedap didengar masyarakat Cina tetapi bercakap lain di masyarakat kaum bukan Cina.

Sekiranya beliau ikhlas dalam mempertingkatkan mutu sistem pendidikan pelbagai aliran di negara ini, termasuklah pendidikan aliran Cina, beliau perlu bersikap terbuka dan telus dalam menggalas tanggungjawab sebagai seorang menteri pendidikan yang mewakili semua rakyat Malaysia.

(Dikemaskini. Terima kasih atas cadangan pembetulan yang dikemukakan oleh media)

 


DATUK SERI WEE KA SIONG ialah Timbalan Presiden MCA dan Anggota Parlimen Ayer Hitam.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS