Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hannah: Wajibkan umur minimum kahwin 18 tahun
Diterbitkan:  Jul 27, 2018 12:29 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata kerajaan perlu meningkatkan umur minimum pernikahan ke 18 tahun kerana HARAPAN dalam kempen pilihan raya lalu beriltizam untuk menyelesaikan isu perkahwinan kanak-kanak.

"Kita tidak boleh buat alasan.

"Dalam hal ini, saya melihat kita tidak ada pilihan. Kami telah berjanji mengenainya dalam manifesto kami, maka kami harus melaksanakannya," Hannah, dipetik Malay Mail berkata demikian.

Menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), HARAPAN membuat lima janji bagi memperbaiki taraf wanita di negara ini. Antaranya memastikan sistem perundangan melindungi hak dan maruah wanita yang termasuk "memperkenalkan undang-undang yang menetapkan umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun."

Anggota parlimen Segambut itu juga bimbang dengan jumlah perkahwinan kanak-kanak yang berlaku sepanjang dekad ini.

Langkah-langkah jangka pendek

Beliau memetik statistik "mengejutkan" mengenai kes perkahwinan kanak-kanak yang diperolehi daripada Jabatan Kehakiman Syariah dan Jabatan Pendaftaran Negara, bagi orang Islam dan bukan Islam.

Antara 2007 dan 2017, terdapat 10,807 kes perkahwinan kanak-kanak yang melibatkan orang Islam.

Sarawak, Kelantan, dan Sabah merupakan tiga negeri teratas di mana perkahwinan ini berlaku.

Dalam tempoh yang sama, bukan Islam pula terlibat dalam 4,999 perkahwinan kanak-kanak, dengan tiga negeri teratas iaitu Sarawak, Johor, dan Perak.

Bagaimanapun, Yeoh juga berkata beliau sedar aspek perundangan yang menghalang perkahwinan kanak-kanak semata-mata tidak akan menghapuskan masalah ini.

Pada hari Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata kerajaan akan memperkenalkan langkah-langkah jangka pendek untuk mengetatkan peruntukan perkahwinan kanak-kanak sehingga larangan sepenuhnya dapat dilaksanakan.

Lihat Komen
ADS