Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar menafikan laporan media bahawa kerajaan persekutuan setuju dengan nilai RM1.9 bilion bagi membiayai pengambil-alihan syarikat swasta konsesi bekalan air Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings (SPLASH) dengan Selangor.

Menurut laporan The Straits Times hari ini rundingan mengenai pembiayaan kewangan bersama itu berlaku pada minggu lalu.

Kerajaan persekutuan didakwa akan menyumbang hampir keseluruhan kos itu sementara kerajaan negeri pula perlu menyumbang kurang daripada separuh jumlah tersebut, lapor akhbar Singapura itu.

Bagaimanapun, Xavier memberitahu pemberita beliau hanya menyatakan pemindahan itu hanya akan selesai pada 10 Ogos, tetapi tidak menyatakan apa-apa amaun yang perlu dibayar.

"Saya tidak menyebut apa-apa amaun atau apa-apa quantum, kerana kuantum itu benar-benar merupakan kes berdasarkan kesanggupan pembeli dan penjual (willing seller, willing buyer), jadi ia antara Air Selangor (milik negeri) dan SPLASH.

Tarikh akhir rundingan 10 Ogos

"Apabila mereka selesa dengan apa yang mereka miliki (bersetuju), mereka akan datang kepada kami (kerajaan persekutuan) dan kemudian kami akan memudahkan pemindahan," katanya kepada pemberita pagi ini.

Kerajaan Selangor telah mengadakan perbincangan untuk mengambil alih SPLASH, anak syarikat Gamuda Bhd dengan pegangan saham sebanyak 40 peratus. Ia dilaporkan sebagai sebahagian daripada usaha penyusunan semula airnya tetapi belum dapat dilaksanakan.

Apabila diminta mengulas lanjut mengenai kuantum untuk pembiayaan bersama itu, Xavier memaklumkan rundingan antara pihak yang berkenaan sedang berjalan.

"Rundingan sedang berjalan kerana saya telah memberi mereka tarikh akhir dan saya harap mereka dapat mematuhi tarikh akhir itu. Pada 10 Ogos, saya berharap kita dapat sekurang-kurangnya mendapatkannya (pemindahan)," katanya.

Dalam laporan pagi ini, "sumber rasmi" memberitahu The Straits Times dalam rundingan antara kedua-dua pentadbiran negeri dan pusat, "kerajaan persekutuan dijangka membayar RM1.9 bilion kepada SPLASH."

"Jumlah ini, daripada jumlah keseluruhan yang dipertimbangkan antara RM2.5 bilion ke RM2.7 bilion, (manakala) Selangor pula akan membayar SPLASH antara RM600 juta ke RM800 juta," petik laporan itu.

[Baca berita penuh]