Pemilihan PKR: Bertandinglah dengan muafakat
ULASAN | Menjelang pemilihan PKR yang bakal menjelang, saya ingin menyarankan agar PKR mengangkat prinsip ‘muafakat antara yang hebat’ antara pemimpin-pemimpinnya bagi mengelakkan pertembungan yang berpotensi menjejaskan keharmonian parti.
Amalan muafakat dan tolak ansur bagi mengelakkan pertembungan dan pertandingan secara langsung ini boleh dilihat sebagai satu cerminan kepada kebijaksanaan dan kematangan parti.
PKR mendukung demokrasi dengan menggalakan pertandingan. Persaingan yang terlalu bersungguh-sungguh demi merebut jawatan berpotensi memecah-belahkan parti.
Muafakat adalah cara kita berdemokrasi dengan matang demi kepentingan yang lebih besar iaitu demi rakyat dan negara.
Tidak keterlaluan saya katakan Muafakat adalah idea demokrasi kita di rantau ini yang mempunyai nilai kemasyarakatan dan kemanusiaan demi kepentingan yang lebih besar dan bukan nilai kepentingan diri dan kelompok semata-mata.
Maka, adalah mustahak buat pemimpin kanan dan berpengalaman dalam parti untuk bermuafakat dan bekerjasama demi mengekalkan nama baik parti.
PKR kini berada pada landasan untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri yang seterusnya.
Justeru, dedikasi kita kepada satu peralihan yang lancar dan wadah pelaksanaannya adalah satu petunjuk kepada masa depan Malaysia.
YUSMADI YUSOFF ialah anggota PKR dan bekas anggota parlimen Balik Pulau.
Rencana ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

