Paling Popular
Terkini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh kempen selama  21 hari bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Balakong pada 8 Sept.

Pada sidang akhbar tengah hari ini, Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood mengumumkan bahawa kesemua calon bertanding akan memfailkan pencalonan mereka pada 18 Ogos di dewan Pejabat Daerah Hulu Langat.

Ini bermakna ia merupakan antara tempoh kempen terpanjang yang ditetapkan untuk pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum (PRU) setakat ini.

Tempoh berkempen selama 21 hari itu juga selaras dengan tuntutan yang dibuat badan reformasi pilihan raya, BERSIH.

Sebelum PRU14, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu Anggota Parlimen Permatang Pauh, meminta SPR menetapkan tempoh kempen tidak kurang 21 hari daripada hari penamaan calon.

Berdasarkan rekod, tempoh berkempen untuk PRU pada tahun 1959, 1964 dan 1969 adalah selama 35 hari.

Sejak itu, tempoh berkempen dipendekkan kepada sembilan hari pada tahun 1999, dan hanya lapan hari pada tahun 2004, yang merupakan tempoh terpendek dalam sejarah pilihan raya umum di Malaysia.

Seterusnya, SPR menetapkan 13 hari berkempen pada PRU12 pada tahun 2008 dan 15 hari bagi PRU13 pada tahun 2013.

Penambahbaikan proses mengundi

Selain tempoh kempen yang lebih lama, Othman berkata SPR akan memperkenalkan penambahbaikan terhadap proses pengundian, berikutan langkah yang telah dilaksanakan dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis yang sedang berlangsung ketika ini.

"Penambahbaikan baru yang akan dilaksanakan semasa pilihan raya kecil Balakong adalah bagi menambah kotak undi di setiap saluran, daripada dua hingga tiga kotak undi pada masa ini.

"Penambahbaikan ini bertujuan untuk mempercepatkan proses pengundian di setiap saluran," kata Othman sambil menambah waktu mengundi juga dilanjutkan sehingga jam 5.30 petang.

Berbanding PRU14, Othman berkata SPR menyediakan dua saluran tempat mengundi tambahan untuk pengundi yang berusia 60 tahun ke atas dan meningkatkan jumlah bilangan saluran tempat mengundi dari 100 hingga 129.

Berhubung pemerhati pilihan raya, Othman berkata SPR telah menjemput OKU Sentral, sebuah NGO yang mewakili orang kurang upaya.

Tarikh akhir bagi pihak yang berminat mengemukakan permohonan mereka untuk menjadi pemerhati pilihan raya adalah pada 6 Ogos.

Kerusi DUN Balakong kosong berikutan kematian penyandangnya dari PKR, Eddie Ng Thien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai.

Ia merupakan pilihan raya kecil kedua diadakan selepas PRU14 pada 9 Mei lalu.

Pada PRU lalu, Ng menewaskan calon BN, Lim Chin Wah dan calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi.

Lihat Komen
ADS