Pakatan Harapan (HARAPAN) Sarawak hari ini mendakwa kerajaan persekutuan menjanjikan 20 peratus keuntungan minyak untuk diberikan kepada negeri pengeluar minyak sebagai tambahan kepada lima peratus royalti minyak.

"Yang penting adalah 20 peratus keuntungan minyak yang kini ditawarkan akan menjadi tambahan kepada 5 peratus royalti minyak dan gas sedia ada.

"Ini merupakan perkembangan positif dan jauh lebih baik berbanding yang diberikan BN yang menyaksikan lima peratus royalti selama 45 tahun," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Pengerusi DAP SAWARAK Chong Chieng jen, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dan Pengerusi AMANAH Sarawak Mohamad Fidzuan Zaidi.

Dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-14, HARAPAN berjanji memberikan 20 peratus royalti minyak kepada negeri pengeluar minyak. Bagaimanapun, setelah mengambil alih kerajaan pusat, HARAPAN berkata pemberian akan berdasarkan keuntungan dan bukannya penghasilan.

HARAPAN Sarawak berkata janji asal untuk memberikan 20 peratus royalti minyak merupakan diperlukan oleh kerajaan Sarawak untuk mengambil autonomi penuh dan menggalas tanggungjawab kewangan untuk pendidikan dan kesihatan negeri itu.

HARAPAN Sarawak juga mendakwa Gabungan Parti Sarawak yang menerajui kerajaan negeri menuntut 20 peratus royalti minyak sedangkan dalam masa yang sama enggan menggalas tanggungjawab kewangan untuk pendidikan dan kesihatan rakyat negeri itu.

"Memandangkan kerajaan negeri Sarawak menolak tawaran itu, kerajaan persekutuan terpaksa merundingkan semula perkara itu dan menawarkan 20 peratus keuntungan minyak kepada Sarawak," katanya.

HARAPAN Sarawak berkata pihak mereka komited untuk menuntut 20 peratus royalti minyak dengan pengambilalihan sepenuhnya hal-hal pendidikan dan kesihatan negeri Sarawak.

[Baca berita asal]