Seperti yang dijangkakan, pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Pengkalan Pasir pada 6 Disember ini membabitkan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), calon PAS dan seorang calon bebas.

Calon PAS, Hanifa Ahmad, 59, merupakan yang pertama mengemukakan kertas pencalonan pada jam 9.13 pagi, dikuti calon bebas, Datuk Ibrahim Ali (foto) pada jam 9.20 pagi. Calon BN, Hanafi Mamat pula menyerahkan kertas pencalonannya pada jam 9.22 pagi.

Bagaimanapun, dua kertas pencalonan daripada dua calon bebas ditolak kerana gagal mengemukakan deposit wang tunai sebanyak RM5,000 untuk pencalonan. Kedua-dua calon bebas berkenaan, Fauziah Ghani dan Mohd Suji @ Ahmad Awang, hanya menyediakan pembayaran deposit itu dalam bentuk cek, bukan dalam bentuk tunai.

Hanifa tiba dengan diiringi kira-kira 5,000 penyokongnya, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat serta beberapa pemimpin tertinggi PAS.

Hanafi (foto), Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, diiringi hampir 10,000 penyokongnya. Beliau diringi Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak; Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting; Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad,-menteri besar, ketua menteri dan menteri kabinet.

Menurut laporan Bernama, Ibrahim (foto) pula tiba dengan diiringi kira-kira 1,000 penyokongnya sejurus sebelum Hanafi tiba di pusat pencalonan.

Nama ketiga-tiga calon yang bertanding itu diisytiharkan oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya Kecil Pengkalan Pasir Abdul Halim Ahmad di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim (1), Pasir Mas, pada kira-kira jam 11.15 pagi.

Ketiga-tiga nama mereka disahkan bertanding bagi kerusi Pengkalan Pasir selepas tamat tempoh waktu bantahan selama sejam bermula 10 pagi.

18,411 pengundi

Pilihanraya Kecil Pengkalan Pasir diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober lalu akibat penyakit kanser hati.

Mengikut daftar pemilih yang disahkan SPR pada 15 Ogos 2005, seramai 18,411 termasuk 195 pengundi pos, layak mengundi di 10 daerah mengundi Banggol Chicha, Kubang Badak, Kubang Bemban, Kampung Bharu, Kampung Dangar, Pengkalan Pasir, Jalan Pasir Pekan, Slow Machang, Kasa dan Sakar.

Hanafi, anak tempatan yang berkelulusan tinggi, pernah dicalonkan di kawasan itu dalam pilihanraya umum lalu tetapi tewas kepada Wan Abdul Aziz dengan majoriti 56 undi. Beliau pernah bertanding kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihanraya umum 1990, tetapi tewas kepada Ibrahim yang ketika itu bertanding atas tiket Semangat 46.

Hanifa pula merupakan bekas Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), dan orang lama dalam partinya. Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Pengkalan Pasir yang dulunya dikenali sebagai Meranti dari tahun 1978 hingga 1982.

Hanifa yang mendapat pendidikan tinggi di Universiti Malaya, pernah bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dari tahun 1969 hingga 1975. Beliau kini ialah Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Pasir Mas.

Manakala Ibrahim, yang merupakan bekas Ketua Umno bahagian Pasir Mas, pernah bertanding dalam pilihanraya umum lalu bagi kerusi Parlimen Pasir Mas sebagai calon bebas, tetapi tewas. Pilihanraya itu membabitkan pertandingan tiga penjuru antara Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan calon PAS Ismail Noh. Berikutan itu, Ibrahim telah dipecat sebagai anggota Umno seumur hidup.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, SAC 1 Zulkifli Abdullah berkata pihak polis juga membuat sempadan bagi mengasingkan penyokong parti politik untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Pencalonan ditolak

Katanya, lebih 1,000 pegawai dan anggota ditugaskan untuk memastikan perjalanan kempen dan hari pengundian pada 6 Disember depan berjalan lancar dan terkawal.

Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, SPR menolak dua kertas pencalonan daripada dua calon bebas kerana gagal mengemukakan deposit wang tunai sebanyak RM5,000 untuk pencalonan.

Katanya, kedua-dua calon bebas berkenaan, Fauziah Ghani dan Mohd Suji @ Ahmad Awang hanya menyediakan pembayaran deposit itu dalam bentuk cek.

"Kita tidak menerima pembayaran cek, dan mereka gagal menyediakan wang tunai, bagi tiga calon lain, mereka telahpun membayar deposit berkenaan sebelum ini dan hari ini mereka hanya mengemukakan resit," katanya.

Abdul Rashid berkata ketika tempoh bantahan, SPR juga menerima bantahan daripada PAS berkenaan calon BN yang dikatakan sedang belajar, bagaimanapun bantahan itu ditolak.

"Memang calon BN sedang belajar tapi tidak sepenuh masa. Beliau kini sedang menyiapkan tesis ijazah PhD (doktor falsafah), tidak menjadi kesalahan," katanya.

Calon BN itu kini sedang menyiapkan tesis bagi ijazah PhD (Pentadbiran Tanah dan Pembangunan) di Universiti Teknologi Malaysia.

Cuaca yang terang sejak awal pagi turut membantu melancarkan proses penamaan calon hari ini dan lebih 10,000 penyokong calon-calon berkenaan berkumpul seawal jam 6 pagi lagi.