PRK SG KANDIS | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan yang dibuat oleh calon Umno bagi pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis Datuk Lokman Noor Adam.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan yang dibuat oleh calon Barisan Nasional (BN) ... Datuk Lokman Noor Adam bahawa SPR telah bertindak menurunkan bahan kempen yang dipasang oleh calon berkenaan kerana dianggap menimbulkan perasaan tidak selesa kepada pihak lain.

"SPR menegaskan bahawa tiada sebarang tindakan penurunan bahan kempen tersebut dibuat oleh Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) seperti yang didakwa, malah wakil calon parti berkenaan juga turut menganggotai PPKPR yang diwujudkan oleh SPR itu," kata Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood dalam suatu kenyataan hari ini.

Hari ini, Lokman mendakwa SPR bersikap pilih kasih terhadap BN apabila mengarahkan bahan kempen mereka diturunkan kerana dianggap menimbulkan perasaan tidak selesa.

Calon BN itu mendakwa bunting mereka dicantas pagi tadi.

Menurut Lokman, antara sepanduk yang didakwanya diturunkan SPR itu bertulis, ‘Lokman Adam akan tanya pada PH kenapa hari-hari harga barang naik’ dan ‘Undi BN jika mahu kerajaan Pakatan tunai janji’.