Polis rakam kenyataan Teresa Kok berhubung klip video
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini memberi keterangan polis berhubung rakaman video seorang tahanan wanita yang dipaksa berbogel dan membuat ketuk-ketampi dalam lokap.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini memberi keterangan polis berhubung rakaman video seorang tahanan wanita yang dipaksa berbogel dan membuat ketuk-ketampi dalam lokap.
Teresa yang ditemani peguamnya Sankara A. Nair, tiba di ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 10.50 pagi sebelum memberi keterangan selama kira-kira 30 minit bagi membantu siasatan polis berhubung kes terbabit.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Teresa berkata, antara lain beliau diminta oleh polis memberitahu bagaimana rakaman video dalam bentuk video cakera padat (VCD) kejadian itu boleh berada dalam tangannya.
"Saya tidak pernah melihat video itu dan VCD berkenaan ditemui di pintu pejabat saya pada 24 November lepas," katanya.
Menurut laporan Bernama, Teresa berkata, beliau juga tidak mengetahui siapa yang menghantar VCD terbabit tetapi mengetahuinya menerusi maklumat orang ramai sebelum itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Hazam Abdul Halim ketika dihubungi, mengesahkan bahawa polis telah mengambil keterangan daripada Teresa tetapi enggan mengulas lanjut.
Khamis lalu, rakaman video seorang wanita yang dipercayai warga China yang bogel dan diarah membuat ketuk-ketampi oleh anggota polis wanita, didedahkan Teresa di lobi Parlimen.
Rakaman itu diambil menggunakan telefon bimbit dan ditayangkan semula menggunakan komputer riba Teresa, yang menunjukkan seorang anggota polis wanita beruniform mengarahkan tahanan wanita tersebut melakukan ketuk-ketampi dalam keadaan bogel.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.