Seorang guru yang dikaitkan dengan insiden mencabul pelajar lelaki di Johor kini sedang bercuti tanpa gaji sehingga 9 Ogos ini.

Apabila tamat tempoh bercuti itu kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching guru terbabit tidak akan dibenarkan mengajar di mana-mana sekolah sehingga siasatan kes berkenaan selesai.

Kata Teo guru terbabit mengambil cuti mulai 15 Jul lalu.

"Tindakan sewajarnya akan diambil ke atas suspek jika terbukti perlakuan terkutuk itu dilakukan terhadap pelajar," katanya dalam satu kenyataan media di parlimen hari ini.

Teo yang juga anggota parlimen Kulai berkata kementerian pendidikan memandang serius pendedahan mengenai insiden itu yang dilaporkan pada 29 Jul.

"Laporan itu memaklumkan bahawa terdapat seorang guru bahasa Inggeris di Johor telah mencabul seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun sebanyak dua kali.

"Menurut laporan berkenaan, insiden ini berlaku di sebuah sekolah menengah di Johor," katanya.

Difahamkan kejadian itu terbongkar selepas mangsa memberanikan diri tampil membuat laporan selepas guru terbabit tiada.

Melalui kenyataan sama Teo menegaskan semua guru besar, pengetua, pegawai pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri diperingatkan supaya bertindak mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan KPM Bilangan 2 Tahun 2009 jika mendapati ada kakitangan yang disyaki terlibat dalam kejadian jenayah

"Tindakan itu perlu diambil untuk memastikan guru-guru tersebut ditukarkan ke jawatan kumpulan," katanya.